Pasukan teknikal Badminton SAGA X 2023.
PUTATAN: Debaran dan kehangatan Kejohanan Badminton Sukan Sabah Ke-10 (SAGA X) 2023 semakin terasa dengan lapan pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) beraksi hari ini.
Ketua Delegat Teknikal Badminton, Allfhonso Fiel berkata kebanyakan pemain kebangsaan itu juga bakal melengkapkan catatan kejayaan masing-masing di Dewan Juara Badminton hari ini.
Antaranya, pemenang pingat perak beregu campuran dalam Kejohanan Badminton Asia Bawah-17 di Chengdu, China Oktober lalu, Datu Anif Isaac Datu Asrah dan pasangan beregunya sejak tahun 2018 di beberapa kejohanan badminton, Hymns Isaiah dan kedua-duanya merupakan pemain pasukan Tuaran.
Di samping itu, pemain yang baharu saja beraksi di Kejohanan Badminton 100Plus Junior Elite Tour (JET) iaitu Saidatul Saadiah Muhammad dan rakannya, Cassey Ryn Rompog yang Kejohanan Bawah 18 Tahun Kebangsaan Petronas juga bermain dalam pasukan Tuaran.
“Seorang lagi pemain yang telah mencipta nama di Kejohanan Badminton Terbuka Ireland Terbuka FZ FORZA tahun lalu iaitu Hanz Haikal Azahawari bermain dalam pasukan Penampang.
“Juga dalam pasukan Penampang ialah pemain yang bermain di Kejohanan Badminton Elit Remaja AFFIN-100Plus Mac lalu iaitu Lim Ke Xuan.
“Selain itu, dua lagi pemain dari SBBJ iaitu Chua Jing Xuan dan Arena Satu Samin yang masing-masing dalam pasukan Kalabakan dan Kota Kinabalu,” dedahnya ketika ditemui media di sini.
Mengenai persiapan, Alfhonso yang juga bekas pemain Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan pemenang pingat emas acara beregu campuran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Tahun 2004 menjelaskan dia bersama Pengarah Kejohanan Rechine Jikah turut dibantu 70 petugas terdiri daripada 26 pengadil, 27 hakim garis, lapan desk official, enam sukarelawan, tiga petugas medic termasuk seorang doktor perubatan serta enam petugas St. John Ambulance.
Beliau turut mempelawa masyarakat untuk bersama-sama hadir dan memberi sokongan kepada pada pemain petang ini.