Amelia (kanan) dan Danish ketika menentang pasukan Kalabakan.
Putatan: Aksi adik beradik dari Kinabatangan Amelia Afrina Omar Maya, 18, dan Adrisyah Adriana Omar Maya, 20, menjadi tumpuan kebanyakan penonton di Dewan Juara Badminton hari ini.
Mereka yang merupakan anak kepada Ketua Jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Remaja Negeri Sabah di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) turut ditemani jurulatih dan juga ibu, Siti Hajar Ayob, 43, bersama sekumpulan penyokong dari Kinabatangan.
Dalam perlawanan suku akhir beregu campuran, Amelia Afrina dan Danish Immenual Ag Razalle menang 21-17, 21-13 ke atas pasukan Kalabakan, sebelum berganding dengan kakaknya, Adrisyah Adriana dan tewas di tangan pasukan Sandakan, Jolo Lim Zi Yu dan Sarah Lim Yung Sie dalam aksi beregu wanita 10-21, 15-21.
Antara penyokong setia mereka ialah Siti Aafiyah Arifuddin dan Kirana Samad masing-masing bersama kakak sepupu, ahli keluarga serta rakan-rakan dari Kinabatangan yang tiba di Kota Kinabalu sejak Sabtu lalu.
Menurut mereka, kalah menang perkara kedua, namun semangat dan sokongan moral daripada insan terdekat adalah sumber kekuatan dan motivasi sebenar para pemain, apa tah lagi dalam keluarga yang berkongsi minat dan sukan yang sama.
Kejohanan Badminton Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X) 2023 yang masuk hari ketiga, menyaksikan 60 perlawanan menerusi lima kategori masing-masing dengan 12 perlawanan.