Hidangan sepinggan nasi berlaukkan sotong dan sayur dipaparkan dalam hantaran yang tular di Facebook.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap sebuah restoran di kawasan Kota Kinabalu yang menjual lauk sotong manis berharga RM50 pada hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, KPDN Negeri Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, bertindak atas aduan, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan secara fizikal di premis diadu.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.
“Walau bagaimanapun, KPDN menasihatkan pemilik premis supaya memaklumkan harga dengan lebih jelas dari segi saiz sotong manis tersebut. Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar.
“Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.
“Sebagai tindakan lanjut, premis telah dikenakan tindakan dan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi makanan sotong manis juga dikeluarkan kepada permis tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan tersebut dan diminta untuk memberi maklum balas dalam tempoh dua hari.
Menurutnya, tindakan diambil dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga kepada KPDN Sabah.
“Kementerian ini juga menasihatkan orang ramai untuk bertanya terlebih dahulu kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga yang dipamerkan sebelum mengambil makanan, bagi mengelakkan masalah tersebut berlaku,” katanya.
KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga ataupun kekurangan bekalan barang kawalan. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan seperti berikut:
a) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; b) Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;
c) Call Centre 1-800-886-800;
d) Emel: e-aduan@kpdn.gov.my ;
e) Ez ADU KPDN;
f) Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
g) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command Centre): 03 – 8882 6088 / 6245