KOTA KINABALU: Permintaan bagi pelitup muka, cecair sanitasi dan test kit Covid-19 meningkat berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, tetapi bekalan cukup dan tiada pembelian panik.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, KPDN Sabah mengambil maklum berhubungan trend kes Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat setiap hari di Sabah.
“Berdasarkan kepada pengedaran dan penjualan, pelitup muka, cecair sanitasi serta test kit Covid-19 di negeri ini didapati ada dijual di pasaran sama ada di farmasi atau pasar raya pada harga yang murah dan berpatutan.
“Setakat ini, KPDN Sabah tiada menerima sebarang aduan ataupun laporan berhubung kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran.
“Beberapa premis farmasi yang telah diperiksa juga memaklumkan permintaan terhadap test kit Covid-19 ada berlaku sedikit peningkatan permintaan, walau bagaimanapun, bekalan masih ada dan mencukupi.
“Pihak farmasi juga sentiasa menambah stok bekalan daripada pembekal untuk menampung permintaan yang dijangka akan meningkat.
“Keadaan di pasaran juga tidak berlaku pembelian panik daripada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi barang-barang keperluan termasuk pelitup muka, cecair sanitasi serta test kit Covid-19 sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan.
Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, boleh dikenakan penalti seperti berikut:
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011
i. Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
ii. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual.
a. individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000; dan
b. syarikat; boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961
i. Kesalahan peniaga melibatkan menyorok barang kawalan dan menyeleweng barang kawalan.
a) individu; boleh didenda tidak melebihi satu (1) juta ringgit atau penjara tidak lebih tiga (3) tahun atau kedua-duanya; dan
b) syarikat; denda tidak melebihi dua (2) juta ringgit.
Zulfamy berkata, KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga ataupun kekurangan bekalan barang kawalan.
Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan seperti berikut:
a) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; b) Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;
c) Call Centre 1-800-886-800;
d) Emel: e-aduan@kpdn.gov.my ;
e) Ez ADU KPDN;
f) Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
g) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command Centre): 03 – 8882 6088 / 6245


























