Mohd Aiman turut beraksi dalam acara berpasukan lelaki.
KOTA KINABALU: Pasukan Beaufort dan Pitas memperoleh emas pertama Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X) menerusi acara petanque, pada Selasa.
Beaufort muncul johan kategori berpasukan lelaki setelah menewaskan Kota Belud dengan 2-1, sementara Kota Kinabalu di tempat ketiga.
Bagi kategori wanita berpasukan, emas milik Pitas setelah menewaskan Papar 3-0, manakala Keningau pula sekadar memperoleh gangsa.
Pasukan Kota Kinabalu turut memungut dua pingat emas petanque menerusi acara shooting lelaki dan wanita yang diadakan di Gelanggang Petanque Politeknik, pada Isnin.
Pada peringkat akhir shooting kategori lelaki, Mohd Aiman Danial (Kota Kinabalu) menewaskan wakil Papar, Muhammad Hazlami dengan pungutan mata 18-6, manakala peserta Kota Belud, Abraham Junior di tempat ketiga.
Selain itu, Kota Kinabalu terus mengungguli acara shooting kategori wanita dan mengutip emas kedua sukan tersebut menerusi Nur Shaqina Sari, sementara Maxiviana (Tawau) memenangi pingat perak dan wakil Keningau, Marysa Apple memperoleh gangsa.
Kejohanan petanque pada temasya kali ini menawarkan 11 pingat emas.
























