SINGAPURA: Kerajaan Singapura mengeluarkan garis panduan baharu untuk pelancong dan rakyatnya selepas merekodkan peningkatan 56,000 lagi kes Covid-19 di negara itu.
Menurut Utudan Malaysia, Kementerian Kesihatan Singapura menasihatkan penggunaan pelitup muka di tempat yang sesak, terutamanya di kawasan tertutup.
Pelancong juga digesa untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka di lapangan terbang dan mengelakkan kawasan sesak yang mempunyai pengudaraan buruk.
Mengikut kemas kini terkini, terdapat kira-kira 56,043 kes Covid-19 yang dilaporkan sepanjang minggu antara 3 hingga 9 Disember 2023.
Ini menandakan peningkatan ketara daripada 32,035 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
Purata kemasukan ke hospital setiap hari akibat Covid-19 meningkat daripada 225 kepada 350 berbanding minggu sebelumnya.
Purata kes yang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat daripada empat kepada sembilan orang.
Kerajaan Singapura menekankan jujukan genom BA.2.86, dikenali sebagai JN.1, punca kepada peningkatan kes di negara itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata tiada bukti kukuh yang menunjukkan BA.2.86 atau JN.1 lebih mudah menular berbanding yang sebelum ini.
Kementerian Kesihatan Singapura turut bekerjasama dengan hospital awam untuk membangunkan pelan keselamatan sebagai tindak balas kepada situasi semasa.
Pelan ini merangkumi pelbagai langkah, seperti memastikan tenaga kerja yang mencukupi dan menangguhkan prosedur elektif yang tidak mendesak. Objektifnya untuk mewujudkan kapasiti tambahan katil, khususnya untuk kes serius.
Kementerian Kesihatan bersedia untuk merasmikan Kemudahan Rawatan Covid-19 baharu di Ekspo Singapura khusus untuk menyediakan penjagaan bagi lebih 80 pesakit Covid-19 yang stabil serta tidak memerlukan rawatan intensif di hospital.
Individu yang mempunyai simptom jangkitan pernafasan akut dinasihatkan untuk berada di rumah.
Dalam interaksi yang tidak dapat dielakkan, memakai topeng, mengehadkan pembabitan sosial, dan mengelakkan tempat yang sesak ialah langkah berjaga-jaga yang disyorkan.
























