Masiung memalu gong sebagai gimik perasmiaj Sambutan Krismas di Lamag sambul disaksikan oleh Ismail Hj. Ayub (berdiri dua dari kanan)
TONGOD: Lebih 5,000 penduduk lima buah kampung di sini bakal menikmati kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta capaian internet sebaik sahaja syarikat utama pelaburan projek klinker bersepadu memulakan operasinya sebelum pertengahan tahun depan.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, empat projek infrastruktur itu yang menelan belanja RM350 juta adalah sebagai langkah awal pembangunan kilang simen berkenaan.
Katanya, kampung yang terlibat dengan jajaran projek tersebut ialah Kampung Susui, Kg. Kawayoi, Kg. Langga, Kg. Tudungin dan Kg. Inarad sekaligus mengakhiri penantian penduduk sejak negara mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tindakan daerah di sini petang kelmarin.
Sabah menerima pelaburan bernilai RM2 bilion untuk membina kilang klinker bersepadu di Tongod.
Masiung berkata, syarikat tempatan iaitu Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. (BCS) yang dipengerusikannya telahpun menandatangani perjanjian usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
Sebelum itu, SEDCO turut menandatangani memorandum persefahaman menggunakan kepakaran syarikat mega daripada China iaitu China Engineering Industry.
Masiung menjelaskan, fokus utama syarikat itu kini lebih terarah kepada penyediaan kemudahan infrastruktur terlebih dahulu sebelum mendirikan kilang.
“Kewujudan infrastruktur itu bakal memberi limpahan ekonomi secara berperingkat kepada penduduk.
“Langkah ini selari dengan misi ‘Sabah Maju Jaya’ untuk menurunkan kadar kemiskinan di daerah Tongod,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelan cadangan projek-projek itu telahpun tersedia dan akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan.
Tambahnya, keempat-empat projek itu akan dibina serentak termasuk membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer selain membina loji bekalan air terawat.
Masiung berkata, syarikat itu juga akan membina talian elektrik 40MW yang disambung dari jana kuasa di Nabawan sejauh 39km.
Sementara itu, menara telekomanikasi serta jaringan internet menggunakan kabel ‘fibre optic’ turut dibina serentak di penempatan kilang meliputi kampung berdekatan sejauh 60 km.
“Keempat-empat kemudahan asas itu akan dibina secara ‘Design and Build’ selepas memperolehi kebenaran bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Masiung berkata, apabila kilang itu beroperasi sepenuhnya ia akan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan selain peluang perniagaan kepada warga tempatan.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Krismas di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.


































