NAPLES: Seorang bekas pengedar dadah sanggup menyerahkan sebuah pulau buatan yang dimilikinya di luar pantai Dubai kepada pihak berkuasa Itali dengan harapan hukumannya diringankan.
Pengumuman itu dibuat semasa perbicaraan di Naples Isnin lalu, yang melibatkan kira-kira 20 defendan termasuk bekas pengedar dadah antarabangsa yang terkenal di Camorra, Raffaele Imperiale atau digelar ‘bos Van Gogh’
Menurut Utusan Malaysia, The Guardian melaporkan, Imperiale melarikan diri selama lima tahun sebelum ditangkap di Dubai pada Ogos 2021 dan diekstradisi ke Itali pada Mac 2022.
Menurut penyiasat, Imperiale yang kini menjadi pemberi maklumat tentang kumpulan mafia, membeli pulau itu yang diberi nama Taiwan semasa dia bersembunyi.
Nilai pulau tersebut dianggarkan lebih 60 juta euro (RM307 juta) dan merupakan sebahagian daripada kepulauan buatan di luar pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipanggil ‘The World’ kerana bentuknya menyerupai peta dunia.
Imperiale yang berdepan hukuman penjara 14 tahun 10 bulan turut cuba mempamer kesanggupannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Adalah jelas bahawa Imperiale mahukan pengurangan hukuman. Kami sedang menilai kesahihan kenyataannya, tetapi nampaknya tidak ada keraguan tentang kebenarannya,” kata Pendakwa Raya, Maurizio De Marco.
Imperiale memulakan jenayahnya di kedai kopi di Amsterdam yang menjual ganja dan dipercayai menjadi ketua kartel dadah mega bersama bekas penjenayah paling dikehendaki Belanda, Ridouan Taghi, ketua geng terkenal Ireland, Daniel Kinahan dan pengedar dadah Bosnia, Edin Gacanin.
Pihak berkuasa Itali menganggap kumpulan Imperiale sebagai salah satu daripada 50 kartel dadah terbesar di dunia dengan monopoli maya ke atas kokain Peru.
Sebelum ditahan, Imperiale menikmati gaya hidup mewah di Dubai dan mendapat jolokan ‘bos Van Gogh’ kerana memiliki dua lukisan berharga karya artis Belanda itu yang dicuri.
Demi menunjukkan kesanggupannya menjadi pemberi maklumat mafia, Imperiale dilaporkan memulangkan lukisan itu kepada pihak berkuasa kehakiman.