Kereta api laluan Beaufort – Tenom. Gambar Hiasan: Media Sosial
KOTA KINABALU: Punca kelewatan dalam menyelesaikan masalah laluan keretapi di antara Beaufort –Tenom adalah bersifat kontraktual, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau menjelaskan, pada peringkat awal pihak Kementerian Kerja Raya Sabah dan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah ada bercadang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikpulihan berkenaan dengan segera melalui peruntukan kerja-kerja kecemasan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, katanya, Jabatan Kereta Api telah dinasihatkan untuk tidak melaksanakannya disebabkan oleh ikatan kontrak yang masih berkuat kuasa untuk kontrak kerja penaiktarafan berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Kereta Api telah mengemukakan cadangan kerja pembaikpulihan berjumlah RM4.7 juta kepada Kementerian Pengangkutan pada bulan Disember 2022 untuk membaik pulih kerosakan berkenaan.
“Peruntukan yang dipohon berkenaan telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada 15 Ogos 2023. Pihak Kementerian Pengangkutan juga memaklumkan mengenai pelantikan Jabatan Kereta Api sebagai agensi pelaksana pada 7 September 2023 dan perkara ini telah dibuat tindakan segera dengan penyediaan dokumen tender pada 3 November 2023,” katanya kepada soalan tambahan dariapda Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah punca kelewatan kerja pemulihan/pembaikan, sama ada kekuarangan peruntukan, teknikal atau pentadbiran, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan daripada Yong mengenai status pembaikan laluan keretapi di antara Beaufort-Tenom yang terlibat dengan tanah runtuh sejak bulan November 2022, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata, landasan kereta api yang terjejas adalah termasuk dalam sektor landasan daripada Halogilat ke Tenom sejauh 27 kilometer yang mana telah dinaik taraf dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan (Kementerian Pengangkutan Malaysia) berjumlah RM49.5 juta.
Katanya, projek ini telah siap pada 25 Januari 2022 dan dijangkakan segala urusan kontrak kerja dapat diselesaikan dengan pengeluaran CMGD (Certificate of Making Good Defects) pada 25 Januari 2023.
“Walau bagaimanapun, sebelum tiba tarikh tersebut, satu kejadian banjir besar telah terjadi pada 31 Oktober 2022 yang telah menjejaskan kerja-kerja yang telah disiapkan, dan menyebabkan laluan landasan tidak selamat untuk digunakan.
“Banjir besar tersebut telah menyebabkan kerosakan struktur landasan, runtuhan lereng bukit, tebing sungai dan kerosakan dua buah jambatan di lebih 50 lokasi di sepanjang laluan sektor berkenaan,” kata Robert.
Beliau berkata, walaupun kerja pemulihan kekal belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi perkhidmatan keretapi di sektor Pangi ke Tenom sejauh 11 km telah dipulihkan pada 19 November 2022, sementara perkhidmatan keretapi di sektor Halogilat ke Rayoh sejauh 9 km telah dipulihkan pada 21 Jun 2023.
“Dengan itu penduduk setempat di sekitar Kg. Pangi boleh menggunakan perkhidmatan kereta api ke Pekan Tenom, dan penduduk setempat di sekitar Kg. Rayoh boleh menggunakan perkhidmatan keretapi ke Pekan Beaufort.
“Untuk sektor Pangi ke Rayoh sejauh 10 km, hanya troli ringan sahaja yang dapat melalui landasan ini disebabkan terdapat kerosakan struktur landasan yang agak besar, termasuk kerosakan dua buah jambatan,” katanya.
Menurutnya, pihak Kerajaan Persekutuan (Kementerian Ekonomi) telah meluluskan peruntukan sejumlah RM4.7 juta pada 15 Ogos 2023 untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan kekal terhadap kerosakan disebabkan bencana alam ini di keseluruhan sektor Halogilat ke Tenom, dan proses tender akan dipanggil dalam waktu terdekat.




























