NEW YORK: Penyanyi, Mariah Carey mendedahkan tidak memandu gara-gara lesennya tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Carey berkongsi perkara tersebut sewaktu menjadi tetamu menerusi rancangan bual bicara The Jennifer Hudson Show kendalian penyanyi, Jennifer Hudson.
“Saya pandai memandu, cuma sekarang masih merancang untuk memperbaharuinya.
“Saya pernah memiliki lesen, tapi ia tamat tempoh sejak tujuh tahun lalu. Selain itu anda tidak perlu memandu jika tinggal di kawasan bandar seperti Manhattan.
“Untuk mendapatkan lesen saya kena lalui semula ujiannya. Saya akan cuba dapatkan (lesen),” katanya.
Pendedahan itu dibuat selepas pertanyaan berkaitan diajukan Hudson kepada Carey dalam rancangan tersebut.