Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
KOTA BELUD: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandunya melanggar seekor kerbau lalu terbabas masuk gaung sedalam lima meter di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 4.09 pagi.
Katanya, epasukan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Hasrulnizam Mohd. Zain dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejarkan ke lokasi.
Apabila tiba di tempat kejadian yang jaraknya empat kilometer dari BBP Kota Belud, pasukan bomba mengeluarkan mangsa lelaki berusia 36 tahun itu yang mengalami kecederaan di bahagian belakang daripada kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo itu.
Katanya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi tamat pada jam 4.42 pagi.
































