Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Idea bagi memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR menerima sokongan penuh Exco Pemuda PBS.
Ketua Exco Pemuda PBS, Christoper Mandut, berkata, dalam satu pertemuan pemimpin kedua-dua parti itu baharu-baharu ini, PBS dan STAR telah mencapai persetujuan untuk memulakan perbincangan bagi mengadakan kerjasama, yang bermatlamat untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan pelbagai komuniti dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Wakil-wakil yang telah ditetapkan dari kedua-dua parti akan terlibat dalam satu mesyuarat rasmi pertama tidak lama lagi.
“Antara lain tercetusnya semua idea ini juga, adalah atas saranan dan seruan kerjasama PBS-STAR yang telah dinyatakan oleh para penyokong dari peringkat akar umbi.
Katanya, langkah itu juga bagi menyusuli cadangan asal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020 lalu, yang menekankan usaha kedua-duanya untuk kerjasama yang berkesan.
“Antara kebaikannya, gabungan STAR dan PBS dapat membawa bersama sokongan pelbagai kaum, sekaligus meningkatkan daya tarikan politik dalam kalangan komuniti yang berbeza-beza di Sabah.
Selain itu, menurut Christoper, kedua-dua parti ini mempunyai pengalaman politik yang mapan, yang sudah tentu dapat memberi kestabilan dan kebijaksanaan kepada gabungan berkenaan.
“Mana-mana parti gabungan, sememangnya perbezaan ideologi dan pendekatan politik menjadi cabaran dalam menyatukan matlamat dan strategi politik, mungkin boleh mencetuskan ketidaksetujuan dan konflik dalaman, terutamanya jika tidak dapat dikelola dengan efektif.
“Namun, itulah antara perkara yang bakal kita perhalusi sebaik mungkin untuk diperbincangkan nanti,” jelas Christoper.
Bagi Christoper, gabungan tersebut juga memberi peluang memperkukuhkan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang pastinya mampu memberi impak positif kepada politik wilayah Sabah.






























