BEIJING: Penyanyi, Jeryl Lee Pei Ling yang merupakan rakyat Malaysia pertama memenangi sebuah program realiti terkenal di China semakin mencuri perhatian gara-gara rupa parasnya yang seakan-akan ahli BLACKPINK, Lisa.
Menurut Utusan Malaysia, persamaan tersebut turut disedari peminatnya menerusi reaksi mereka pada setiap gambar yang dimuat naik Jeryl di Instagramnya.
“Saya sangka anda adalah Lisa. Bagaimanapun anda ada personaliti sendiri,” tulis peminat.
“Adakah anda pasti anda bukan adik perempuan Lisa yang terpisah?” seloroh seorang lagi peminat.
Dalam pada itu, peminat Jeryl juga meminta agar mana-mana pihak tidak membanding-bandingkan penyanyi tersebut dengan Lisa.
“Tolong jangan bandingkan dia dengan Lisa. Dia kuasai vokal, Lisa pula Rap dan tarian,” tulis peminat.
Jeryl mengharumkan nama negara selepas menjadi rakyat Malaysia tunggal yang menjadi juara The Next 2023 yang berlangsung September tahun ini.
Penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian di negara tersebut antaranya Water Cube Cup China pada tahun 2014 dan Sing! China (2016).