Tarikan Batu Bersusun di Tawau yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk CoBT.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) dibangunkan secara agresif berikutan potensi besarnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) boleh mengharapkan sokongan penuh Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi CoBT.
Hajiji gembira kerana walaupun masih dalam fasa pemulihan berikutan pandemik Covid-19, beberapa inisiatif yang diambil oleh Kementerian dan STB telah membuahkan hasil, khususnya dalam sektor CoBT.
Beliau berkata, seramai 224,356 pelancong melawat destinasi pelancongan luar bandar di negeri ini tahun lepas, membawa masuk hampir RM8 juta resit pelancongan.
“Ini hanya mencerminkan angka dari Kadamaian (Kota Belud), Kiulu (Tuaran) dan Tambunan. Saya percaya angka itu mungkin lebih tinggi dan akan terus berkembang dengan dorongan agresif bersama dalam mempromosikan pelancongan luar bandar oleh semua Majlis Tindakan Pelancongan Daerah dan Persatuan Pelancongan daerah di seluruh negeri ini,” katanya pada pelancaran Ekspo CoBT Sabah di Suria Sabah, di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Haji Hajiji Haji Noor
Hajiji berkata, pelancongan merupakan salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi negeri di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dan Kerajaan Negeri akan melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kemahiran untuk pelancongan komuniti luar bandar.
“Saya mahu melihat pelancongan komuniti luar bandar Sabah berada setanding, jika tidak lebih baik, dengan negara lain. Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha STB dan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) supaya CoBT mempunyai jenama sendiri, satu langkah positif ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan.
“Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan gesaan Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai pada perhimpunan agung Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) agar pelancongan berasaskan komuniti luar bandar diberi perhatian khusus oleh badan dunia itu,” katanya sambil memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha CoBT Sabah untuk mencapai 80 peratus pematuhan standard Asean menjelang 2030.
Ketua Menteri berkata, ekspo tiga hari itu akan berfungsi sebagai pelan transformasi untuk CoBT Sabah, mempamerkan kekuatan masyarakat luar bandar, dan menawarkan pengalaman asli kepada pelancong.



























