Joniston semasa melawat salah satu gerai yang terdapat pada Ekspo
KOTA KINABALU: Pelancongan Berasaskan Komuniti atau Community-Based Tourism merupakan produk pelancongan yang semakin berkembang serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ekspo ini bukan sekadar satu acara tahunan, malah merupakan platform transformasi yang memberi peluang kepada peniaga untuk mempamer dan mengetengahkan pelancongan agro dan pelancongan berasaskan komuniti yang ditawarkan, agar pengunjung dapat merasai pengalaman autentik yang menanti pelancong di luar bandar Sabah.
“Sudah tiba masanya para pengusaha sektor pelancongan termasuk komuniti setempat meneroka dimensi pelancongan yang melampaui kawasan tarikan pelancongan popular, dan membawa mereka ke dalam hati komuniti luar bandar menerusi pelancongan agro dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Pada tahun 2022 seramai 224,356 pelancong telah berkunjung ke destinasi pelancongan luar bandar dan jumlah kunjungan ini mencatatkan sebanyak RM7,931,637.80 resit pelancongan, dan ini hanya melibatkan tiga daerah iaitu Kadamaian, Kiulu dan Tambunan.
“Saya percaya, dengan pendekatan yang agresif dalam mempromosikan pelancongan luar bandar kita, angka ini akan terus meningkat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Ekspo Pelancongan Berasaskan Komuniti (Sabah Community-Based Tourism Fair) 2023 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelancongan juga merupakan salah satu teras utama pembangunan ekonomi di negeri ini seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan negeri bersedia melabur dalam infrastruktur, pembangunan kemahiran dan pemasaran untuk komuniti luar bandar, namun ia juga memerlukan kerjasama para pelancong, pengendali pelancongan dan komuniti global.
“Difahamkan Pesta Pelancongan Berasaskan Komuniti akan diadakan di IOI Mall, Putrajaya pada tahun hadapan dan ianya merupakan kali pertama pesta sedemikian diadakan di negara dan saya pasti para pemain industri Sabah akan memimpin jalan terhadap pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti ini.
“Kerajaan negeri Sabah turut menyokong usaha agar sektor Pelancongan Berasaskan Komuniti ini mencapai tahap pematuhan Asean Standard sebanyak 80 peratus menjelang tahun 2030,” tambah beliau.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Robert Stidi; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman dan Presiden Gabungan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS), Walter Kandayon.




























