Mangsa melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil bola di bilik janakuasa TNB dalam kejadian di Bayan Lepas, Pulau Pinang kelmarin. – Pic: Ihsan JBPM P. Pinang
BAYAN LEPAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik selepas dipercayai tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Bayu, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa, Mohd. Dawisy Zarif Mohd. Khairi, 12, memasuki bilik janakuasa elektrik tersebut untuk mengambil bola.
Bagaimanapun, dia dilaporkan terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik di bilik janakuasa elektrik tersebut.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian tersebut.
“Mangsa telah dibawa oleh pihak perubatan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Pihak bomba kemudian membuat “size up” bagi memastikan kawasan tersebut tidak lagi merbahaya sebelum menyerahkan kepada pihak TNB untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Tambah beliau, operasi kemudian ditamatkan pukul 5.43 petang.