Masidi (tengah) bersama para pemimpin tertinggi parti, sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.
KOTA KINABALU: Semua pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diseru untuk memperkukuhkan niat, berjuang dalam parti sebagai satu National Service untuk Sabah.
Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perjuangan mereka dalam parti politik mesti berasaskan niat yang betul.
Keazaman dan komitmen mereka semua merupakan aset penting untuk memperkuat demokrasi dan membawa perubahan positif kepada parti dan sekaligus negeri, katanya, sambil menambah semua ini hanya boleh direalisasikan dengan niat yang tulus dan ikhlas.
“Dikalangan kita semua pastinya ada seribu satu sebab untuk bersama menyertai Gagasan Rakyat. Anggaplah perjuangan kita sebagai satu National Service untuk Sabah. Berjuang dengan ikhlas demi kebaikan masyarakat, bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.
“Perjuangan ini bukan sahaja sebagai pemimpin atau ahli Gagasan Rakyat, tetapi perjuangan sebagai “Anak Sabah” yang mencintai negeri ini!”katanya ketika merasmikan persidangan agung tahunan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, konsep ‘Sabah First’ yang diperjuangkan oleh Gagasan Rakyat bersama GRS bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi dari komitmen untuk memastikan kepentingan Sabah sentiasa diutamakan.
Beliau berkata, sebagai sebuah parti lokal, Gagasan Rakyat mempunyai tanggungjawab khusus untuk mewakili suara dan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak hanya memperjuangkan hak Sabah di peringkat nasional, tetapi juga memastikan bahawa setiap keputusan dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Presiden kita, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, memenuhi keperluan dan harapan rakyat Sabah.
“Sebagai parti lokal kita harus terus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, memastikan bahawa suara mereka didengar dan aspirasi mereka direalisasikan,” katanya.
Masidi mengajak semua ahli parti untuk menjalani tugas ini dengan semangat kepartian yang tinggi dan patriotisma yang mendalam.
“Marilah kita bersatu, berjuang bersama, dan memastikan bahawa Sabah terus maju ke hadapan. Kita perlu ingat bahawa kita adalah wakil rakyat Sabah, dan tugas kita adalah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri kita.

“Saya percaya bahawa dengan tekad dan usaha kita, kita akan mencapai matlamat kita untuk membangunkan Sabah dan memperjuangkan hak rakyatnya.
“Ini bukan hanya tugas kita sebagai ahli parti, tetapi juga sebagai warga Sabah yang komited. Mari kita bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk Sabah dan rakyatnya,” tegasnya.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah turut menekankan betapa pentingnya peranan sayap Wanita, Pemuda, dan Beliawanis dalam kerangka Gagasan Rakyat.
“Mereka bukan sekadar anggota biasa; mereka adalah tulang belakang dan nadi kehidupan parti kita.
“Sayap Wanita adalah lambang ketahanan dan dedikasi, menggalas tanggungjawab dengan penuh kasih sayang dan ketabahan. Mereka tidak hanya mewakili suara wanita tetapi juga menerajui pelbagai program dan inisiatif yang memastikan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
“Sayap Pemuda adalah wakil generasi muda yang penuh semangat dan bersemangat. Mereka membawa impian dan harapan baru, serta menjadi perantara antara aspirasi generasi muda dengan halatuju parti. Semangat membara dan inovasi yang mereka bawa adalah kunci untuk memastikan PGRS tetap relevan dan progresif.

“Manakala, sayap Beliawanis menggabungkan kelebihan dan keunikan kedua sayap lainnya. Mereka adalah simbol kombinasi kebijaksanaan dan semangat muda, memastikan agar tiada celah yang terlepas dalam usaha kita merangkul setiap lapisan masyarakat.
“Kepada sayap Wanita, Pemuda, dan Beliawanis, saya ingin mengingatkan betapa berharganya peranan anda dalam membentuk masa depan parti dan negeri Sabah. Mari kita bersatu padu, dengan tekad yang bulat, demi masa depan yang lebih cerah bagi Sabah dan Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya.
Masidi berkata, masa kini memerlukan semua untuk berfikir dan bertindak dengan cara yang berbeza.
Katanya, politik era kontemporari bukan semata-mata perjuangan kuasa, tetapi juga perjuangan ideologi, prinsip dan integriti, sambil menambah cabaran politik, terutamanya di Sabah, memerlukan semua untuk berada beberapa langkah ke depan.
“Oleh itu, pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat mesti menerapkan mindset yang lebih progresif dan inklusif.

“Kami mahu setiap ahli Gagasan Rakyat menjadi contoh dalam berpolitik dengan integriti, mempromosikan dialog yang konstruktif dan menjauhi budaya politik yang tidak beretika. Kita harus melepaskan diri dari politik lama yang penuh dengan intrik dan konflik, dan bergerak menuju politik yang lebih matang, beretika dan berteraskan kerakyatan.”
Beliau berkata, satu cabaran utama dalam dunia politik adalah mengatasi persepsi negatif yang masyarakat miliki terhadap ahli politik.
“Kita harus bekerja keras untuk membina dan mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap PGRS. Cara terbaik untuk melakukan ini adalah dengan membuktikan melalui tindakan. Namun apa yang lebih penting adalah untuk kita berubah sesuai dengan permintaan rakyat, apa yang rakyat mahu (jangan syok sendiri!).
“Setiap inisiatif, program dan keputusan yang diambil oleh Gagasan Rakyat harus berasaskan kepentingan rakyat dan kesejahteraan Sabah. Dengan mengambil pendekatan yang lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti, kita akan mampu mengubah persepsi rakyat dan menunjukkan bahawa PGRS adalah pilihan yang terbaik untuk Sabah.”
Masidi berkata, membangun sebuah parti yang kuat bukan semata-mata tentang strategi dan visi, tetapi juga tentang bagaimana kita bekerja setiap hari.

Kerana itu, katanya, budaya kerja Gagasan Ralyat harus mencerminkan nilai-nilai kejujuran, ketekunan, dan komitmen.
“Kita mesti memastikan bahawa setiap ahli parti mengamalkan etika kerja yang tinggi, berorientasikan hasil, dan mementingkan kepentingan rakyat. Dengan menekankan pentingnya integriti dan kecemerlangan dalam setiap aspek kerja kita, kita akan membina sebuah parti yang dihormati dan dipercayai oleh rakyat Sabah.”


































