Pasukan SAR menarik naik mayat mangsa ke dalam bot penyelamat. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang lelaki maut apabila bot pam dikemudikannya bertembung dengan sebuah bot pelancong di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, PBT II Noor Jali Maslah berkata, mayat mangsa dikenal pasti sebagai Nurman Nur, 35, ditemukan oleh orang awam pagi tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan perairan Labuan Haji pada jam 9.30 malam tadi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai san seramai tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Abd Satal Tulai dikejarkan ke lokasi. Ia turut melibatkan PDRM, APMM, PPM dan APM.
“Setiba di tempat kejadian sejauh satu kilometer dari BBP itu, didapati berlaku perlanggaran antara sebuah bot pelancong dan sebuah bot pam di kawasan perairan Labuan Haji pada sekitar jam 9.30 malam tadi.
“Menurut pemanggil, terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pengemudi bot pam bernama Nurman Nur, 35, dikhuatiri hilang,” katanya.
Menurut Noor Jali, operasi pencarian dijalankan pada jam 7.39 pagi tadi di kawasan perairan Kampung Labuan Haji dijalankan bersama agensi lain yang terlibat.
“Mayat mangsa telah dijumpai oleh orang awam yang seterusnya memaklumkan kepada Pasukan search and rescue (SAR) pada jam 8.11 pagi tadi. Pasukan SAR menyerahkan mangsa kepada pihak Polis Marin untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.19 pagi,” katanya.


































