Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan amat penting bagi mempercepatkan projek-projek pembangunan dan infrastruktur di negeri-negeri termasuk mempermudahkan proses-proses yang terlibat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti pindah milik pemilikan tanah.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, perancangan dan pembangunan koridor turut perlu mengambil kira perancangan dan potensi pembangunan dengan negara-negara jiran.
Perkara itu ditegaskan beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang dihadiri oleh kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang berkaitan dan ahli-ahli daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan industri, petang semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mesyuarat semalam telah membincangkan status pelaburan masuk dan pembangunan infrastruktur terkait dengan setiap koridor.
“Sejumlah RM185 bilion pelaburan kumulatif telah dicatatkan oleh koridor utara bagi tahun 2022 iaitu melebihi sasaran RM146.5 bilion bagi tahun 2021 hingga 2025.
“Iskandar Malaysia pula mencatatkan pelaburan komited berjumlah RM409.5 bilion berbanding sasaran RM383 bilion untuk dicapai sehingga tahun 2025. Wilayah Ekonomi Pantai Timur pula telah menerima pelaburan komited berjumlah RM164.7 bilion,” katanya.
Perdana Menteri menambah, kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan rasionalisasi agensi galakan pelaburan selaras dengan agenda Ekonomi Madani untuk menstrukturkan semula ekonomi negara.
“Aktiviti promosi dan kelulusan insentif pelaburan akan dipusatkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).
“Pihak berkuasa koridor pula akan menumpukan peranan untuk menyokong pelaksanaan atau merealisasikan pelaburan,” katanya.





























