Pasukan bomba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air itu. – Ihsan Bomba
RANAU: Tiga orang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di tengah sungai apabila kejadian kepala air berlaku di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PpgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kampung Puru-Puru, Ranau.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 2.59 petang, dan sepasukan lapan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Farro Rynson Gusar dilengkapi sebuah jentera dan van EMRS bergegas ke lokasi.
“Setiba di lokasi yang terletak dua kilometer dari BBP itu, didapati terdapat tiga orang kanak-kanak terperangkap di sungai semasa kejadian kepala air berlaku.
“Pasukan bomba membuat penyelamatan menggunakan tali memindahkan mangsa ke tempat selamat,” katanya.
Tambahnya, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain operasi ditamatkan pada jam 3.35 petang.

































