Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) bersama Dr. Maximus, Timbalan-timbalan Presiden, Ahli-ahli Majlis Tertinggi dan semua perwakilan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-38.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menubuhkan Jawatankuasa Semakan Perlembagaan PBS bagi tujuan menyemak semula Perlembagaan PBS, serta memberikan cadangan bagi memperkasakan lagi parti, kata Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Presiden PBS itu berkata, jawatankuasa ini yang diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Yee Moh Chai, dan disertai beberapa golongan professional, diberi mandat untuk menyemak dan membuat pindaan yang berkenaan.
Menurut beliau, antara pembaharuan yang ingin dilaksanakan ialah penganjuran Persidangan Perwakilan yang diubah daripada setiap tahun kepada sekali dalam tiga tahun.
Keputusan ini melibatkan pindaan beberapa rang undang-undang dalam perlembagaan parti kita untuk disesuaikan dengan perubahan pelaksanaan mesyuarat parti kelak, tambahnya.

Dr. Maximus Ongkili (tengah) diiringi Dr. Joachim (kiri), Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai (kanan), Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki san pemimpin lain memasuki Dewan Hongkod Koisaan KDCA.
“Selain itu, jawatankuasa ini juga memberi cadangan untuk mewujudkan satu pergerakan baharu, khusus buat para beliawanis kita, agar mereka dapat bergerak seiring dengan ahli-ahli lain dalam memperjuagkan misi dan visi parti kita.
“Saya difahamkan, pergerakan ini menerima ahli berumur 18 tahun ke atas, sesuai dengan keputusan kerajaan lalu untuk menurunkan umur pengundi dari 21 ke 18. Adalah harapan saya agar golongan muda ini mendapat sokongan dan bimbingan dari ahli-ahli senior lain dalam parti.
“Usul ini dibuat sebagai salah satu strategi untuk meremajakan parti keramat ini.
“Hampir empat dekad kewujudan PBS, parti ini tidak terlepas dari dugaan dan cabaran. Parti kita juga sering diaibkan dan dikatakan sebagai parti orang tua. But despite all these negative comments, PBS remains strong. Walau bagaimanapun, sudah tiba masanya kita mengubah persepsi ini dengan membawa pembaharuan dalam parti bagi memberi nafas baru, seperti yang diidamkan semua ahli.

Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) menyempurnakan gimik perasmian dengan memalu gong sambil disaksikan oleh Dr. Maximus, Timbalan-timbalan Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi
“Kita harus berpandangan jauh, apatah lagi dalam senario politik pada masa ini di mana golongan muda semakin menunjukkan minat untuk berpolitik. Rebutlah kesempatan ini untuk menarik mereka menyertai PBS. Tapi jangan salah politik, kerana cara berpolitik yang salah hanya merugikan rakyat dan negeri. Jangan buang masa. Berpolitiklah dengan fakta, don’t just speak for the sake of arguing,” kata beliau dalam ucapan dasarnya beliau pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-38 di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Dr. Maximus turut mengalu-alukan ahli baharu dan sokongan ahli senior parti.
“kita seharusnya mengalu-alukan kehadiran golongan muda dalam parti kerana ‘darah muda’ inilah yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan parti keramat ini di masa hadapan. Janganlah kita pernah berasa takut atau gusar melihat kehadiran mereka kerana penglibatan anak-anak muda ini mampu memperkasakan Parti Bersatu Sabah, dan diharapkan kita akan meloncat ke tahap yang lebih tinggi lagi.
“Buat para kepimpinan masa kini, ini adalah masa paling sesuai untuk kita berkongsi pengalaman serta pengetahuan berpolitik dengan anak-anak muda zaman kini. Selain daripada bergerak aktif dengan mengadakan majlis bersemuka bersama akar umbi, kita juga perlu lebih proaktif dan mendekati golongan ini melalui penganjuran program-program yang diminati mereka. Sama seperti perkahwinan. Pertama kita kena pelajari minat dan isi hati si dia, dekati dan tarik perhatian si dia, pastikan si dia membalas minat kita, jika kedua-dua sudah suka, maka ‘tangkap’ si dia untuk menjadi sebahagian dari hidup kita.

Laungan Bersatu oleh Dr. Maximus (tengah), Timbalan-timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (dua dari kanan), Datuk Jahid Jahim (kiri), Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki.
“Senario ini sama seperti politik. Pertama kita perlu mendekati akar umbi, pelajari minat serta isi hati mereka. Jika ada yang menolak parti kita, jangan putus asa. Teruskan mendampingi mereka dan sentiasa tanam di sanubari mereka akan asas perjuangan Parti Bersatu Sabah. Lama-kelamaan, misi dan visi parti kita akan meresap ke minda mereka, dan mereka akan sedar bahawa PBS adalah parti yang cekal, berani dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri dan rakyat Sabah,” katanya.
Dr. Maximus berkata, sebagai parti yang berusia 38 tahun, mereka boleh berbangga kerana PBS telah berjaya hadapi semua cabaran dan rintagan, sama ada dari anasir luaran malahan pergolakan di dalam parti sendiri.
“All these challenges have made us stronger. Kita bukan lagi budak hingusan dalam politik, malahan, kekuatan serta perpaduan kita dalam PBS disegani ramai. Kita harus terus maju ke hadapan, Jangan pernah mundur atau tunduk apabila digertak. Stay strong!”
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua orang atas keyakinan yang berterusan terhadap PBS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Jangan sesekali kita berputus asa. Tetap bersatu di dalam PBS dan GRS. Jangan malu demi memperjuangkan hak-hak kita semua. Jangan sesekali malu dan segan untuk menyuarakan apa yang betul untuk rakyat dan negeri Sabah,” tegasnya.

























