Pasukan bomba memberikan bantuan kepasa mangsa. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian berlaku di 1Borneo Hypermall, Tower B, pada kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 10.34 pagi dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Welson Juanis dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 14 kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang mangsa lelaki berumur 22 tahun telah terjatuh dari tingkat dua ke atas bumbung kawasan letak kereta.
“Pasukan bomba mengambil mangsa dengan menggunakan tali dan pengusung Junkin Stretcher dan menaikkan mangsa ke tingkat satu bangunan,” katanya.
Menurut Ordine, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba yang mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kaki kanan.
“Mangsa seterusnya dibawa turun dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 11.50 pagi,” katanya.

























