Shahelmey (tengah) teruja menerima cenderahati yang disampaikan oleh Mokhtar (dua dari kanan).
PUTATAN: Masyarakat diseru terus menyemarakkan perasaan cintakan negara tanpa perlu menunggu tibanya Bulan Kebangsaan. Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen P.173 Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata semangat cintakan negara tidak seharusnya terhenti selepas berakhirnya Bulan Kemerdekaan malah perlu digelorakan dari masa ke semasa.
“Melalui perasaan cintakan negara ini, kita dapat melahirkan sebuah negara yang lebih harmoni, bersatu padu, aman dan sejahtera.
“Semangat patriotisme juga perlu ada dalam diri setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia tanpa mengira apa jua latar belakang mereka,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Putatan tahun 2023 di sini, pada Khamis.
Menurut Shahelmey lagi, pelbagai program telah dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan warga Putatan.
“Walaupun sambutan Bulan Kebangsaaan sudah berakhir namun penglibatan semua sehingga hari ini membuktikan semangat perpaduan masyarakat setempat,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Shahelmey turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna, Pertandingan Nyanyian Patriotik dan Pertandingan Bintang Kecil Patriotik di samping melawat gerai-gerai pameran.
Hadir sama, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Hussin, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pejabat ADUN N23 Petagas, Shamsur Zulkifli dan Pegawai Penerangan Daerah Putatan, Nordin Siman.





























