Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengenal pasti Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (EAGA) yang lain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Agensi negeri seperti POIC Sabah Sdn Bhd telah meletakkan taman perindustrian dan pelabuhannya di Lahad Datu sebagai hab logistik untuk BIMP-EAGA.
“Rancangan juga disediakan untuk membina akademi maritim bagi menyokong ekonomi EAGA yang bergantung kepada maritim dan hab pengangkutan marin untuk meningkatkan kesalinghubungan antara EAGA,” katanya pada majlis makan malam mengalu-alukan dan pembukaan rasmi Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji mengulangi bahawa sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada di lokasi yang strategik.
“Memandangkan BIMP-EAGA bersiap sedia untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun depan, kami harus mengambil kira potensinya. Data mengenai BIMP-EAGA menawarkan banyak peluang.
“Terdapat banyak potensi dalam kerjasama rentas sempadan dalam sektor yang diperuntukkan seperti pengangkutan; tenaga dan kesalinghubungan kuasa; perdagangan dan pelaburan; teknologi maklumat dan komunikasi; agroindustri dan perikanan; pelancongan; alam sekitar dan sosiobudaya dan pendidikan.
“Kecuali Brunei, ahli EAGA lain berada jauh dari ibu kota mereka di Jakarta dan Manila. Oleh itu, Sabah sesuai sebagai pintu masuk untuk perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, penubuhan ibu negara Indonesia baharu, Nusantara di Kalimantan Timur, akan meningkatkan keunggulan Sabah.
“Kebanjiran orang dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi. Kerajaan Negeri percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai subrantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang,” katanya.
Sementara itu Hajiji berkata, Sabah yakin akan mendapat lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan melonjak lebih jauh melebihi pelaburan RM9 bilion yang telah diluluskan pada separuh pertama tahun ini.
“Tahun lepas, dagangan Sabah mencecah rekod tertinggi RM118.1 bilion berbanding RM87.2 bilion pada 2021. Kami pastinya ingin melihat lebih ramai pelabur datang ke Sabah untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang bermanfaat kepada semua,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa berpandukan pelan hala tuju pembangunan, Hala Tuju Sabah Maju Jaya, komitmen Sabah terhadap pertumbuhan tidak berbelah bahagi, dan ia akan terus mendorong agenda pembangunannya berdasarkan tiga tonggak pertumbuhan iaitu Pertanian, Industri dan Pelancongan serta memberi penekanan kepada pelaburan dalam rakyat, meningkatkan kesalinghubungan dan kemampanan hijau.

























