Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah mengemukakan cadangan kerja pembaikpulihan berjumlah RM4.7 juta kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 20 Disember 2022 bagi membaikpulih kerosakan di laluan sekfor Beaufort dan Tenom.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah (KKRS), Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, MOT telah memaklumkan kepada JKNS bahawa peruntukan yang dipohon telah diluluskan secara dasarnya pada bulan lalu (Ogos) dan seterusnya proses penyaluran peruntukan kepada Kerajaan Negeri akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, JKNS telah mengenal pasti skop yang perlu dilaksanakan bagi membolehkan sektor Beaufort dan Tenom dapat dihubungkan semula dengan pengangkutan rel.
“Skop kerja merangkumi tiga bahagian iaitu skop kerja pembersihan dengan kos sebanyak RM1.69 juta, skop pembaikan dua buah jambatan dengan kos sebanyak RM1.17 juta dan skop kerja pembaikan kekal landasan keretapi dengan kos sebanyak RM1.8 juta.
“Pihak JKNS dalam proses akhir menyediakan dokumen tender bagi pelaksanaan kerja pembaikan ini dan menunggu proses akhir untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan (Kementerian Ekonomi),” katanya.
Menurut Shahelmey, pada peringkat awal, pihak KKRS dan JKNS ada bercadang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikpulihan berkenaan dengan segera melalui peruntukan kerja-kerja kecemasan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada.
Walau bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa akur terhadap nasihat daripada pihak MOT untuk tidak melaksanakan pembaikan berkenaan secara kecemasan disebabkan terdapat ikatan kontrak yang masih berkuat kuasa untuk kontrak kerja penaiktarafan berkenaan.
Shahelmey berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada laporan akhbar Daily Express bertarikh 20 September 2023 bertajuk “Tenom villagers forced to use trolleys for over 10 months” yang melaporkan mengenai keadaan penduduk di Kampung Rayoh yang terputus hubungan pengangkutan ke Pekan Tenom sejak 10 bulan lalu disebabkan landasan keretapi yang mengalami kerosakan disebabkan banjir besar pada 31 Oktober 2022 yang masih belum diperbaiki/dipulihkan sepenuhnya. Pada masa ini mereka terpaksa menggunakan troli motosikal sebagai alternatif.
Shahelmey menjelaskan, laluan landasan yang terjejas berkenaan adalah termasuk dalam sektor landasan daripada Halogilat ke Tenom sejauh 27 kilometer yang mana telah dinaik taraf dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan (MOT) berjumlah RM49.5 juta.
Beliau berkata, projek ini telah disiapkan pada 25 Januari 2022 dan dijangkakan segala urusan kontrak kerja dapat diselesaikan dengan pengeluaran CMGD (Certificate of Making Good Defects) pada 25 Januari 2023.
“Walau bagaimanapun, sebelum tiba tarikh tersebut, satu kejadian banjir besar telah berlaku pada 31 Oktober 2022 di kawasan Pedalaman Sabah yang telah menjejaskan kerja-kerja yang telah disiapkan berkenaan.
“Banjir ini telah menyebabkan runtuhan lereng bukit, tebing sungai dan kerosakan dua buah jambatan di lebih 50 lokasi yang kritikal.
“Memandangkan sektor yang terlibat masih terikat dengan kontrak yang masih berkuat kuasa, kesemua kerja perlu diuruskan mengikut saluran yang sewajarnya,” katanya.
Shahelmey berkata, pihak Kerajaan Negeri, melalui KKRS dan JKNS tidak membiarkan sahaja keluhan dan membiarkan kesusahan penduduk setempat yang terlibat.
“Pihak Kerajaan melalui KKRS/JKNS dan pihak kontraktor yang terlibat telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembaikpulihan minimal di sektor Tenom ke Pangi (11 Km), dan operasi perkhidmatan keretapi (menggunakan stokereta ringan) di sektor ini telah dipulihkan pada 19 November 2022.
“Dengan itu, penduduk setempat di Pangi sudah dapat keluar dan masuk ke pekan Tenom untuk urusan harian mereka menggunakan perkhidmatan keretapi bermula tarikh berkenaan,” jelasnya.
Katanya, bagi sektor Halogilat ke Rayoh (9 Km) yang mana terdapat kesan kerosakan yang agak berat, laluan hanya dapat dipulihkan pada 21 Jun 2023.
“Dengan itu, penduduk setempat di Rayoh telah boleh berurusan ke pekan Beaufort bermula tarikh berkenaan.
Sementara itu, untuk sektor Pangi ke Rayoh (10 Km), laluan ini belum dapat dipulihkan disebabkan kesan kerosakan yang lebih berat, termasuk kerosakan dua buah jambatan di sektor ini. Ini hanya dapat diselesaikan selepas peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan (MOE/KE) dapat disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah/JKNS.
“Dengan itu, pada masa ini, pilihan untuk penduduk di Rayoh adalah menggunakan perkhidmatan keretapi ke pekan Beaufort untuk urusan mendapatkan bekalan keperluan harian mereka dengan perkhidmatan keretapi yang sudah dipulihkan.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan akhbar DE ini, penduduk lebih cenderung menggunakan troli motosikal mereka untuk ke Pangi dan Tenom. Kecenderungan ini mungkin disebabkan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berurusan di Tenom, dan juga faktor jarak, dimana jarak ke Tenom adalah 21 Km adalah lebih dekat berbanding ke Beaufort (29 Km),” katanya.