Petani bekerja di sawah padi di Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di bandar Los Banos, wilayah Laguna, selatan Manila.
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menetapkan harga siling bagi beras dalam usaha memastikan kos makanan ruji negara terkawal.
Menurut Utusan Malaysia, pejabat presiden dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dibuat untuk menangani `kenaikan yang membimbangkan’ dalam harga runcit beras.
“Di sebalik bekalan beras yang stabil, pihak berkuasa masih melaporkan berlakunya kejadian `amalan manipulasi harga secara meluas’.
“Misalnya, isu peniaga oportunis menyorok beras dan persekongkolan dalam kalangan kartel industri pada musim tertentu,” jelas kenyataan.
Dilaporkan, harga siling untuk beras dikisar biasa ditetapkan pada 41 peso (RM3.36) sekilogram, manakala bagi beras dikisar secara baik pula berharga 45 peso (RM3.69) sekilogram, dengan had siling mandat kekal berkuatkuasa sehingga ditarik balik oleh presiden.
Berdasarkan Kementerian Pertanian, beras tempatan dan import yang dikisar dengan baik kini dijual antara 47 hingga 56 peso sekilogram (RM3.85 hingga RM4.52) di ibu kota.
Manakala beras dikisar biasa tempatan dan import dijual pada harga 42 hingga 55 peso (RM3.44 hingga RM4.51) bermula 30 Ogos lalu.
Tambah kenyataan itu, Filipina juga mengalami tekanan harga akibat insiden global seperti konflik Russia-Ukraine, sekatan India terhadap eksport beras dan harga minyak tidak stabil.
Marcos yang juga menteri pertanian pada awal minggu ini mengarahkan pihak berkuasa memburu peniaga yang menyorok beras serta mengambil tindakan tegas membendung inflasi beras yang mencecah 4.2 peratus pada Julai lalu, rekod tertinggi sejak tahun 2019.
Filipina merupakan antara pengimport bijirin terbesar di dunia.
Harga runcit beras negara itu meningkat lagi pada bulan lalu, dengan beberapa varieti melonjak sebanyak 25 peratus di pasaran dalam dan sekitar ibu negara.
Julai lalu, India menghentikan eksport beras putih bukan basmati pada akhir Julai untuk mengawal harga yang melonjak di dalam negara dan memastikan ketersediaan bekalan tempatannya.
India menegaskan terpaksa berbuat demikian berikutan harga antarabangsa yang tinggi selain didorong oleh senario geo-politik, sentimen El Nino dan keadaan iklim yang melampau di negara pengeluar beras lain.
Tindakan itu mencetuskan kebimbangan inflasi makanan global dan mendorong beberapa negara yang bergantung kepada beras untuk mendapatkan pengecualian segera daripada larangan itu.
Malah, sekatan itu juga menjejaskan mata pencarian sebahagian petani tempatan.
Sementara itu, data dari Kementerian Perdagangan Thailand mendedahkan eksport beras negara itu meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada 5.29 juta tan setakat 29 Ogos tahun ini.
Negara Asia Tenggara itu mengeksport beras bernilai AS$2.56 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama 2023.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 20.73 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar di bawah kementerian itu, Ronarong Poolphiphat berkata, peningkatan dalam pengeluaran beras tempatan disebabkan kebimbangan terhadap musim kemarau akibat fenomena El Ninondan larangan eksport beras India.
“Isu itu yang mendorong negara pengimport beras membeli lebih banyak bagi mengekalkan keselamatan makanan,” katanya.
Malah, katanya, mata wang Baht yang stabil berbanding dolar Amerika serta harga eksport yang kompetitif dengan pengeksport lain seperti Vietnam dan Pakistan juga menyokong peningkatan eksport beras.
Tambah beliau, kementerian perdagangan mengekalkan unjuran pengeluaran beras pada lapan juta tan pada tahun ini.