PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan merampas sebanyak 10 botol air zamzam berkapasiti lima liter bernilai RM1,600 susulan aduan yang diterima daripada orang ramai melalui beberapa sumber termasuk media sosial berhubung penjualan air yang didakwa sebagai air zamzam yang berleluasa kebelakangan ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, rampasan itu hasil operasi serbuan khas telah dijalankan dengan kerjasama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada Rabu lepas.
Beliau berkata, serbuan itu siasatan dan risikan terperinci kementeriannya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang telah membawa kepada penemuan premis yang menjalankan aktiviti penjualan serta pengedaran air yang didakwa air zamzam.
“Satu notis kesalahan di bawah Peraturan 360A (2) telah dikeluarkan. Lokasi premis berkenaan adalah di sebuah pejabat pengurusan di Petaling Jaya, Selangor.
“Operasi khas turut dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2023 oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Pejabat Kesihatan Cheras.
“Dalam operasi yang dijalankan, seorang individu didapati telah menjual produk air zamzam secara tidak sah di premis perniagaan persendirian. Sebanyak 83 botol (41.5 liter) bernilai RM2,075.00 telah disita.
“Di samping itu, satu Notis Kompaun telah dikeluarkan kepada individu yang terlibat dengan nilai RM3,000.00 disebabkan kesalahan di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.
Menurut Muhammad Radzi, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.
Beliau berkata, kementeriannya turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian termasuk e-dagang dengan sejumlah 32 iklan berkaitan penjualan air zamzam telah dipadamkan daripada pelbagai platform pedagang.
Katanya, hasil pemantauan di media sosial pula sejak tahun 2021 hingga kini pula mendapati, sebanyak 63 iklan air zamzam telah dipadam daripada media sosial.
“Air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air Kementerian Kesihatan setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
“Dalam kes itu, didapati Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya.
Beliau menambah, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan membeli air yang dilabel sebagai air zamzam di pasaran tempatan kerana dikhuatiri tiruan.
Katanya, kementeriannya juga memberi amaran dan melarang penjualan air zamzam di semua platform sama ada secara fizikal mahupun secara dalam talian.
“Mana-mana peniaga atau pengedar yang masih mempunyai stok air zamzam tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan dan seterusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh memperdaya pengguna.
“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara ini, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau salurkan aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.