Keadaan rumah penduduk dinaiki air banjir selepas hujan lebat tanpa henti selama dua jam Jumaat.
MARAN: Hujan lebat tanpa henti selama dua jam bermula 6.30 petang Jumaat di Kampung Kuala Sentul di sini, menyebabkan berlakunya kepala air dan banjir kilat membabitkan 64 rumah dan inap desa Kawasan Rekreasi Che Minah Sayang di kampung berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Kampung Kuala Sentol, Mohd. Asri Mat Piah berkata, hujan lebat itu menyebabkan berlakunya kepala air dari Gunung Berantai yang mengalir deras ke Sungai Yeh dan melimpah ke rumah penduduk.
Menurutnya, air yang disertai lumpur masuk ke dalam rumah penduduk sedalam kira-kira 1 meter mengulangi kejadian serupa beberapa tahun lepas.
“Kebanyakan rumah itu berada di lokasi rendah. Banjir kilat berlaku sangat pantas dan ada penduduk tidak sempat memindahkan perabot serta perkakas rumah ke tempat selamat.
“Hujan lebat berhenti kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Mohd. Asri berkata, selepas kejadian itu, penduduk kini sedang giat membersihkan rumah lumpur yang dibawa air banjir dari Sungai Yeh yang berpunca dari Gunung Berantai.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku.
“Kita sedang memantau dan mendaftar mereka terlibat dalam kejadian ini,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah Maran, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pertubuhan belia sedang membantu membersihkan rumah dan bangunan awam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Daerah Maran, Zapril Nasir berkata, kejadian banjir kilat itu dengan arus air sangat laju turut membabitkan Kawasan Rekreasi Che Minah Sayang Lubuk Ujid menyebabkan lima inap desa tenggelam.
Katanya, ada penyewa agak panik dengan kejadian tidak diduga itu tetapi situasi terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/64-rumah-inap-desa-dilanda-kepala-air-banjir/