Saripudin bergambar bersama peserta Program Usahawan Wanita dan Belia
TAWAU: Kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah tanggungjawab bersama, justeru perlu terus diperkasakan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing; anggota pentadbiran, penjawat awam, sektor swasta, NGO, belia, wanita, malah sekalian rakyat.
“SMJ yang merupakan slogan Jata Negeri sejak sekian lama telah dipilih sebagai nama pelan pembangunan ini. Sudah tiba masanya slogan ini diberikan nilai dan makna yang lebih besar dalam membina masa depan negeri.
“SMJ adalah falsafah yang membina jiwa dan inti pati perjuangan setiap anak Sabah. Slogan ini diangkat sebagai hala tuju negeri dengan hasrat untuk membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan pertanggungjawaban setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya.
Oleh yang demikian, Andi berkata, kasih sayang kepada tanah air ini perlu diterjemahkan dengan komitmen untuk bersatu padu, bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan, dan perubahan yang hakiki adalah melihat transformasi Sabah menjadi negeri yang lebih maju dan berjaya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim dalam Program Usahawan Wanita dan Belia yang diadakan di sini pada hari Khamis.
“Kita juga mahu bukan sahaja negeri ini maju, tetapi rakyatnya berkemajuan. Saya menyeru agar kita memberikan sepenuh komitmen, jiwa dan raga untuk bekerja merealisasikan perubahan dan aspirasi rakyat.
“Saya mengajak semua pihak untuk bekerja bersama saya demi kepentingan negeri ini,” katanya.
Penganjuran program yang dimulakan pada 17 Julai lalu di UTC Kota Kinabalu bertujuan untuk memperkasakan golongan wanita dan belia dari latar belakang yang berbeza dari segi ekonomi untuk menerajui bidang keusahawanan.
“Program keusahawanan ini akan menjadi platform untuk mendidik, memberi inspirasi dan menyokong peserta dalam perjalanan keusahawanan mereka.
“Dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran utama seperti ibu tunggal, belia, lepasan sekolah dan mereka yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi, program ini bertujuan untuk mengatasi halangan dan menyediakan peluang secara inklusif.
“Ini khususnya kepada mereka yang sering menghadapi cabaran untuk mengakses sumber dan kemudahan kredit,” kata beliau.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Perbadanan Pinjaman Sabah dan Yayasan Usaha Maju (YUM). Kedua-dua badan berkanun tersebut dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah dan di bawah naugan Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Melalui kerjasama ini, Perbadanan Pinjaman Sabah dan YUM menekankan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti, kata Saripudin.
Katanya, dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kedua-dua organisasi komited untuk mengembangkan ekosistem perniagaan justeru menggalakkan keusahawanan di bandar mahupun diluar bandar.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Surinam Haji Sadikun; Ketua Jabatan Kredit Perbadanan Pinjaman Sabah, Chang Kok Kien; Pengurus Perbadanan Pinjaman Sabah Cawangan Tawau Dan Semporna, Tuge Tupo; Pengurus Perbadanan Pinjaman Sabah Cawangan Lahad Datu, Euphrasia Christe; Pengerusi Kelab Usahawan Tawau, Bungadiah Ahmat; Ketua Pegawai Eksekutif Richgards Business School merangkap Penceramah Program, Bibi Akhtar Ayub; Consultant, Munirah Surin dan Pengurus Cawangan Yayasan Usaha Maju, Timothy Harvey Lajanti.