Orang ramai berjalan di Jambatan Brooklyn di New York.
WASHINGTON: Keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu kini bukan hanya menjejaskan penduduk berpendapatan rendah tetapi juga menyebabkan ramai golongan jutawan di Amerika Syarikat (AS) merasa ‘goyah’ dan kurang yakin dengan kedudukan kewangan mereka.
Menurut Utusan Malaysia, laporan terbaharu Bloomberg mengatakan, golongan profesional bergaji tinggi juga mengakui semakin khuatir dengan keadaan kewangan mereka apabila inflasi berterusan menjadikan segala-galanya lebih mahal.
“Doktor, peguam dan profesional bergaji tinggi lain yang juga dirujuk sebagai golongan kaya kerana mendapat manfaat daripada pekerjaan yang stabil, pemilikan rumah dan akaun simpanan persaraan berkata, mereka tidak berasa selesa sama sekali dalam keadaan ekonomi kini.
“Tinjauan terhadap mereka yang memperoleh pendapatan lebih daripada AS$175,000 (RM814,387) setahun, atau kira-kira 10 peratus pembayar cukai menunjukkan golongan itu merasa sama ada ‘sangat miskin’ atau sedang berdepan masalah.
“Malah sebahagian daripada mereka yang memperoleh lebih daripada AS$500,000 (RM2.3 juta) dan AS$1 juta (RM4.6 juta) mengadu perkara yang sama,”jelas laporan itu.
Data terbaharu daripada syarikat perancangan kewangan dan penasihat pelaburan AS, Edelman Financial Engines turut melaporkan, walaupun memiliki nilai bersih yang tinggi, lebih 54 peratus golongan jutawan di negara itu mengakui tidak berasa selesa dengan kedudukan kewangan mereka.
“Hanya 44 peratus golongan jutawan yang mengakui merasa sangat selesa dengan keadaan kewangan mereka dan mampu hidup dalam kemewahan.
“Sekitar 12 peratus rakyat AS dan hanya 29 peratus jutawan sahaja menganggap diri mereka kaya,” kata laporan itu.
Ketua Pegawai Pelanggan Edelman Financial Engines, Jason Van de Loo berkata, majoriti penduduk berpendapat, mereka memerlukan AS$1 juta (RM4.65 juta) di dalam bank untuk merasa tergolong dalam kelompok individu yang kaya.
Sebaliknya, lebih separuh lagi berkata, mereka memerlukan lebih daripada AS$3 juta (RM13.96 juta) untuk berada dalam kumpulan itu.
Sementara satu pertiga lagi berpendapat hanya layak digelar kaya jika mempunyai lebih daripada AS$5 juta (RM23.26) juta.
Dalam pada itu, menurut tinjauan berasingan oleh Bankrate, rakyat AS berkata, mereka perlu memperoleh purata gaji sekitar AS$233,000 (RM1.08 juta) setahun untuk berasa selamat dari segi kewangan.
Van De Loo berkata, inflasi berterusan menyebabkan isi rumah menghadapi lonjakan kos penjagaan kanak-kanak, pinjaman kereta, kadar gadai janji dan sewa rumah yang tinggi.
“Untuk merapatkan jurang, lebih ramai orang bergantung pada kad kredit untuk menampung perbelanjaan harian.
Pada tahun lepas, hutang kad kredit melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa, manakala kadar simpanan peribadi jatuh merudum.
“Perubahan struktur jangka panjang menjejaskan keupayaan rakyat AS menguruskan kewangan peribadi mereka dengan masalah wang terus menjadi punca utama tekanan dalam kalangan isi rumah,” katanya.