Zainun Abdul Rahman menunjukkan bumbung rumahnya yang tercabut dalam kejadian ribut di Kampung Wakaf Merah, Tendong Pasir Mas, Kelantan.
PASIR MAS: Kira-kira 10 buah rumah dan sebuah premis perniagaan rosak selepas dibadai ribut di Kampung Wakaf Merah, Tendong di sini Jumaat.
Kejadian ribut diselangi hujan batu hampir 30 minit itu berlaku kira-kira pukul 6 petang menyebabkan sebuah premis menjual pakaian rosak teruk apabila bumbung tambahan, siling dan pintu runtuh.
Menurut Utusan Malaysia, pekerja premis terbabit, Amila Mohamad, 21, berkata, ada pekerja melihat pusaran angin seperti puting beliung membadai premis tersebut sehingga mengakibatkan bumbung tambahan dan pintu runtuh sekelip mata.
Menurutnya, premis tersebut kemudiannya bergegar disusuli dengan runtuhan siling
“Ketika itu, lapan pekerja termasuk dua orang pelanggan berlindung di satu sudut untuk mengelakkan daripada terkena runtuhan tersebut. semua pekerja dan pelanggan terlibat terperangkap selama 30 minit. Bekalan elektrik juga terputus sehingga premis gelap selain pakaian yang dijual berselerak di atas lantai,” katanya.
Amila memberitahu, ia merupakan kejadian ribut kuat yang pertama berlaku di kawasan tersebut sejak dia bekerja di premis itu tiga tahun lalu.
Katanya, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku meskipun keadaan premis itu rosak teruk.
Seorang penduduk Kampung Wakaf Merah, Zainun Abdul Rahman, 70, berkata, dia terkejut melihat ketulan ais memenuhi lantai rumahnya apabila atap zink di bahagian ruang tamu tercabut diterbangkan angin.
“Hujan sangat lebat petang semalam (Jumaat). Bunyi di bahagian atap rumah sangat bising seperti ada batu yang jatuh.
“Bunyi bising hujan batu itu menyebabkan saya tidak sedar zink tercabut diterbangkan ribut,” ujarnya.
Zainun berkata, kejadian ribut itu juga menyebabkan stor di hadapan rumahnya runtuh dan sebatang pokok tumbang menimpa ruang dapur.
Katanya, ini merupakan kejadian kali pertama hujan batu berlaku di kampung tersebut dan ia merupakan satu fenomena luar biasa.























