Alexander (belakang ,dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Gulam.
SEMPORNA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya menjadi destinasi persinggahan pertama Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 di daerah yang turut dikenali sebagai Tong Talun ini.
Konvoi KMJG telah menghabiskan perjalanan lebih 2,000 kilometer dan 58 perhentian tiba di daerah pusat pelancongan ala Maldives itu selepas upacara pelepasan dari Bangunan Urusetia Pejabat Daerah Kunak.
Selepas upacara perasmian oleh Pegawai Pendidikan Daerah, Ibnu Jaani, peserta konvoi bersama-sama Pegawai Daerah, Alexander Liew menyantuni masyarakat di Kampung Labuan Senang.
Pelajar SMK Bugaya bersemangat meraikan bulan kebangsaan.
Alexander menyampaikan sumbangan alat bantu sokongan iaitu sebuah kerusi roda daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah kepada pesakit tulang pinggang, Md Gulam Akan, 60, di kediamannya.
JKM juga telah meluluskan bantuan kewangan bulanan kepada Gulam di bawah Skim Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar dengan kadar RM500 sebulan.
Semporna Corner Light View (SCLV) menjadi tapak terakhir konvoi KMJG di Semporna sebelum bergerak ke Tawau yang merupakan lokasi perhentian ke-60.
Pelajar Kolej Komuniti membuat persembahan pantomin, Minda Merdeka sebelum Alexander menyempurnakan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada jabatan, agensi kerajaan dan pemimpin komuniti.