Pasukan pakar bedah AS memindahkan buah pinggang babi ke tubuh pesakit di Pusat Kesihatan NYU Lagone, New York.
WASHINGTON: Pakar bedah Amerika Syarikat (AS) membuat pemindahan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada pesakit mati otak dan organ itu dilaporkan masih berfungsi dengan baik selepas 32 hari.
Prosedur eksperimental terkini itu merupakan sebahagian daripada perkembangan bidang penyelidikan yang bertujuan memajukan pemindahan rentas spesies menggunakan tubuh yang didermakan.
Menurut Utusan Malaysia, penyelidikan itu dilakukan terhadap tubuh pesakit lelaki berusia 57 tahun, Maurice Mo Miller yang disahkan mengalami kanser otak agresif dan sudah tidak sedarkan diri.
Organ buah pinggang itu pula diambil dari babi yang dibiakkan oleh syarikat bioteknologi Revivicor berpangkalan di Virginia.
Kawanan haiwan itu diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA)sebagai sumber daging untuk individu yang hipersensitif kepada molekul alpha-gal, alahan yang disebabkan oleh gigitan kutu.
“Kami mempunyai buah pinggang babi yang disunting secara genetik yang masih hidup dan berfungsi selama lebih sebulan dalam tubuh manusia.
“Saya rasa ada kisah yang sangat menarik wujud pada ketika ini dan saya fikir ia seakan memberi jaminan tentang keperluan memulakan beberapa kajian awal dalam tubuh manusia yang masih hidup,” kata Pengarah Institut Pemindahan Langone NYU, Robert Montgomery.
Montgomery menjalankan pemindahan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik pertama kepada manusia pada September 2021, diikuti dengan prosedur serupa pada November tahun yang sama.
Beliau berkata, pemindahan sebelum ini melibatkan sehingga 10 pengubahsuaian genetik tetapi eksperimen terbaharu itu hanya menggunakan teknik satu suntingan dalam gen dipanggil penolakan hiperakut.
Tambahnya, pasukannya turut membenamkan kelenjar timus babi yang terletak di sekitar leher haiwan berkenaan untuk mendidik sistem imun di lapisan luar buah pinggang.
Sementara itu, Pakar Sekolah Perubatan NYU Grossman, Adam Griesemer menjelaskan, teknik tersebut membenarkan sistem imun dalam badan manusia belajar mengenali sel babi sebagai selnya sendiri justeru, menghalang penolakan dalam jangka masa panjang.
“Kedua-dua buah pinggang pesakit dikeluarkan, kemudian satu buah pinggang babi dipindahkan dan kini sudah mula mengeluarkan air kencing.
“Pemantauan menunjukkan bahawa tahap kreatinin dan bahan buangan berada pada tahap optimum, malah tiada bukti penolakan.
“Yang penting, tiada bukti sitomegalovirus babi yang boleh mencetuskan kegagalan organ dan pasukan kami merancang untuk meneruskan pemantauan selama sebulan lagi,” katanya.
Terdapat lebih daripada 103,000 orang menunggu untuk mendapatkan pembedahan pemindahan organ di AS dengan 88,000 daripadanya memerlukan buah pinggang.
Pakar menganggap prosedur pembedahan tersebut sebagai langkah penting dalam usaha menutup jurang pendermaan organ.
Pada Januari tahun, pakar bedah Sekolah Perubatan Universiti Maryland menjalankan pemindahan pertama jantung babi kepada manusia yang masih hidup.
Namun lelaki itu meninggal dunia dua bulan kemudian dipercayai akibat jangkitan sitomegalovirus dalam haiwan berkenaan.