Ebit Lew semasa hadiri perbicaraan gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom hari ini.
TENOM: Pegawai penganalisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan gagal mengesktrak mesej perbualan yang dipadam dalam kes pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Semasa pemeriksaan balas, pihak pembelaan mendakwa pengadu mungkin memadam mesej perbualan antara dia dan Ebit, namun, mesej itu gagal diekstrak oleh pihak PDRM.
Menurut Utusan Malaysia, saksi ketujuh, Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz,43, memberitahu mahkamah bahawa beliau gagal mengekstrak mesej yang dipadam atau diubah suai daripada telefon bimbit milik pengadu.
Menurutnya, perisian XRY yang digunakan PDRM dalam menganalisis barang kes (telefon bimbit) tidak dapat mengenal pasti apa-apa data yang dianalisis.
Malah, arahan diberikan pegawai penyiasat adalah untuk membuat pemeriksaan dan menganalisis barang kes yang mengandungi sebarang maklumat dan data yang mengandungi unsur seksual dan pornografi.
Tiada arahan diberikan kepadanya selaku penganalisis di Unit Forensik PDRM untuk mendapatkan semula mesej yang dipadam daripada Samsung A31 milik pengadu.
Saksi juga bersetuju dengan pandangan peguam mewakili tertuduh, Ram Singh yang menyatakan data dalam telefon bimbit pengadu mungkin boleh dipadam dan kemudian ditangkap layar sebelum ia dihantar kepada Ebit.
Namun, saksi menjawab tidak pasti apabila Ram mencadangkan bahawa tindakan mendapatkan semula mesej perbualan yang dipadam penting sebagai bukti di mahkamah bagi mendedahkan kebenaran dalam kes tersebut.
Malah, Ram juga menyatakan PDRM tidak menganalisis kesemua telefon bimbit ahli dalam kumpulan Whatsapp ‘Nobody’ yang terlibat dalam kes ini.
Kumpulan Nobody dianggotai oleh saksi pertama, Mohd. Fairuz Abu atau dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi; pendakwah Firdaus Wong Wai Hung dan dua individu lain. Namun, hanya telefon bimbit Mohd. Fairuz dan Firdaus sahaja yang dianalisis.
Dalam perbicaraan Mei lalu, Latifah memberitahu mahkamah bahawa terdapat 436 gambar tangkap layar diekstrak daripada telefon Samsung Galaxy A31, milik pengadu.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Nor Azizah Mohamad manakala, Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.