Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek perumahan ‘sakit’ kini lebih terbela dengan pindaan yang dibuat kepada Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 yang berperanan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang membentangkan rang undang-undang tersebut berkata, pemajuan perumahan di Sabah adalah tertakluk di bawah Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978 dan Kementeriannya dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan Enakmen tersebut.
Katanya, secara amnya, Enakmen ini merupakan undang-undang bagi kawalan pelesenan urusan pemajuan perumahan di Sabah dan berperanan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah.
Enakmen ini telah dipinda kali terakhir pada tahun 2007, katanya, sambil menambah, semenjak itu, terdapat keperluan untuk mengemaskini dan menambahbaik Enakmen ini bagi memenuhi tuntutan rakyat khususnya untuk membantu pembeli rumah projek perumahan ‘sakit’ agar projek perumahan ‘sakit’ tersebut tidak melarat menjadi perumahan terbengkalai.
“Pindaan ini perlu kerana Enakmen yang sedia ada ini tidak mencukupi untuk membela nasib pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek perumahan ‘sakit’ selain memastikan masalah itu tidak berulang pada masa yang akan datang.
“Selain itu, pindaan ini juga adalah untuk memastikan pemantauan dan pengawalan ke atas pemajuan perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memantapkan lagi tindakan penguatkuasaan bagi mengurangkan masalah pemajuan perumahan di Sabah sekali gus dapat memberi lebih perlindungan kepada pembeli rumah,” jelasnya.
Dr. Joachim berkata, secara umumnya, Rang Undang-Undang Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 ini merangkumi pindaan dalam 16 fasal keseluruhannya seperti berikut:
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 2 Enakmen untuk memberi Menteri kuasa bagi mengecualikan mana-mana badan atau agensi yang ditubuhkan dan diperbadankan mengikut statut dan di bawah kawalan Kerajaan atau Kerajaan Malaysia daripada mana-mana atau semua peruntukan Enakmen, dan pengecualian itu boleh dibuat tertakluk kepada apa-apa had, sekatan atau syarat.
Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 3 Enakmen untuk meminda takrif tertentu bagi istilah-istilah tertentu yang digunakan dalam Enakmen berikutan dengan pindaan yang dicadangkan dalam Enakmen yang dicadangkan ini.
Fasal 4 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 5A ke dalam Enakmen untuk melarang pindah milik atau serah hak suatu lesen.
Fasal 5 bertujuan untuk meminda seksyen 7 Enakmen untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan tambahan seseorang pemaju perumahan yang dilesenkan untuk memastikan perlindungan yang lebih baik kepada pembeli.
Fasal 6 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 8B ke dalam Enakmen untuk memberi Pengawal kuasa untuk mengarahkan supaya Akaun Pemajuan Perumahan dibekukan sekiranya pemaju perumahan menjalankan perniagaannya mengikut cara yang menjejaskan kepentingan pembeli atau bertentangan dengan Enakmen.
Fasal 7 bertujuan untuk menggantikan seksyen 12A Enakmen untuk memberi pembeli hak untuk menamatkan perjanjian jual beli sekiranya pemaju perumahan berlesen enggan untuk menjalankan atau menangguhkan atau menggantungkan atau menghentikan kerja untuk suatu tempoh yang berterusan selama enam bulan atau lebih selepas penyempurnaan perjanjian jual beli itu.
Fasal 8 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 13A ke dalam Enakmen bagi memberi Pengawal kuasa untuk melaporkan kelakuan seseorang arkitek, jurutera atau juruukur bahan.
Fasal 10 bertujuan untuk meminda seksyen 19B Enakmen dengan memotong subseksyen (5) dan untuk menyatakan kehendak bagi mana-mana ahli Tribunal untuk menghentikan amalannya yang melibatkan mana-mana pemajuan perumahan semasa tempoh pelantikannya.
Fasal 11 dan 12 bertujuan untuk meminda seksyen 19N dan 19Q Enakmen untuk menambah bidang kuasa Tribunal daripada empat puluh ribu ringgit kepada lima puluh ribu ringgit dan daripada lapan puluh ribu ringgit kepada seratus ribu ringgit masing-masing.
Fasal 13 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 20A dalam Enakmen untuk menjadikannya suatu kesalahan bagi mana-mana pemaju perumahan berlesen yang meninggalkan suatu pemajuan perumahan untuk mengelakkan terjadinya pemajuan perumahan terbengkalai dan membolehkan prosiding jenayah diambil terhadap pemaju perumahan berlesen yang meninggalkan suatu pemajuan perumahan.
Sebelum projek perumahan diisytiharkan sebagai projek terbengkalai, ia perlu memenuhi salah satu kriteria berikut:
i) Projek perumahan yang tidak siap dalam atau luar tempoh Perjanjian Jual dan Beli (S&P) dan tiada sebarang aktiviti yang ketara di tapak pembinaan selama 6 bulan secara berterusan seperti yang diperakui oleh perunding atau Pihak Berkuasa Tempatan; atau
ii) Pemaju mengakui tidak berupaya secara bertulis kepada Pengawal Perumahan; dan
iii) Disahkan sebagai projek terbengkalai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan di bawah seksyen 11 Enakmen Pemajuan Perumahan ( Kawalan dan Pelesenan) 1978.
Dengan itu, seksyen baharu 20A ini memperuntukkan hukuman yang lebih berat untuk memastikan pemaju perumahan berlesen tidak bertindak sambil lewa atau tidak bertanggungjawab dalam menyiapkan projek perumahan mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Fasal 14 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 21B dan 21C ke dalam Enakmen bagi memperkatakan tentang hal perkara yang berkaitan dengan isu penyerahhakan dan perakuan kemajuan bagi melindungi kepentingan pembeli.
Fasal 15 bertujuan untuk meminda perenggan 26(2)(e) Enakmen bagi menambah baik peruntukan dan untuk memasukkan pemberian pelanjutan masa bagi penyiapan pemajuan perumahan.
Fasal 16 bertujuan untuk meminda Jadual kepada Enakmen bagi menghendaki suatu salinan jaminan peribadi oleh pengarah syarikat untuk dikemukakan bersama dengan permohonan bagi suatu lesen.
Pindaan lain yang tidak diperkatakan secara khusus adalah pindaan kecil atau yang berbangkit.
Dr. Joachim berkata, Rang Undang-Undang Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2023 ini telah melalui proses yang melibatkan semua pihak-pihak berkepentingan seperti kementerian, jabatan, agensi kerajaan, Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA) dan Sabah Law Society (SLS) sebelum dimuktamadkan di peringkat Kementeriannya dan dibawa untuk proses gubalan Rang Undang-Undang.
“Pindaan Rang Undang-Undang ini juga turut melibatkan kajian yang komprehensif dan rujukan terhadap model undang-undang Kerajaan Persekutuan iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.
“Justeru, saya ingin menarik perhatian semua Ahli Yang Berhormat bahawa pindaan Rang Undang-Undang ini secara keseluruhannya dapat mengawal risiko berlaku projek terbengkalai, sekali gus membela nasib pembeli rumah di Sabah,” tambahnya.