Lee Zii Jia akan beraksi di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark 21 hingga 27 Ogos ini.
PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menganggap perjuangannya di Kejohanan Terbuka Australia tidak sia-sia biarpun terkandas di peringkat separuh akhir.
Menurut Utusan Malaysia, bekas Jaguh Asia itu dihampakan pemain China, Weng Hong Yang dengan keputusan 19-21, 21-13, 13-21 sekaligus mengakhiri perjalanan jadual padat tiga minggunya sejak kembali membuat penampilan di Terbuka Korea bulan lalu.
Bagi Zii Jia, keputusan di Sydney mungkin membantunya mencari jawapan setelah empat kejohanan berturut-turut dia ditimpa badi tewas seawal pusingan pertama.
“Saya sudah cuba melakukan yang terbaik tetapi Weng (Hong Yang) bermain dengan sangat baik. Dari aspek fizikal dan mental, dia ada kelebihan dan lebih bersedia. Saya tetap gembira dengan keputusan ini.
“Bagaimanapun, secara peribadi masih ada banyak yang perlu saya lakukan selepas ini bagi mendapatkan semula keyakinan. Saya tahu ini adalah prosesnya dan saya perlu lebih bersabar,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Jurulatihnya, Wong Tat Meng sebelum ini turut menjadikan tiga kejohanan membabitkan Terbuka Korea, Jepun dan Australia untuk menilai kemampuan Zii Jia bagi mengembalikan semula sentuhan juaranya di dalam gelanggang.
Biarpun Zii Jia kini tidak lagi berada dalam kelompok ranking terbaik dunia, dia mengakui keadaan sekarang adalah lebih baik memandangkan dia tidak lagi menjadi pemain tumpuan.
Zii Jia yang pernah berada di ranking No. 2 dunia kini jatuh ke tangga ke 17 dunia akan mempunyai masa lebih kurang dua minggu sahaja lagi untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia yang dijadualkan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos depan.
“Sangat bagus dapat bermain tanpa sebarang tekanan kerana kedudukan ranking saya yang rendah. Saya mengejar pemain yang berada di kedudukan lebih tinggi. Sebaik sahaja anda naik, tekanan pasti ada dan itu adalah cabaran untuk kami semua,” tambah Zii Jia.