Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyeru kepada semua rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotisme, seterusnya memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, rakyat perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga terutamanya di rumah, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, premis perniagaan, kenderaan masing-masing serta di mana sahaja tempat yang sesuai.
“Sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang tahun ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat untuk kita sama-sama membangkitkan semangat patriotisme dan mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Dr. Joachim Gunsalam (dua dari kanan) mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2023, menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada Ketua -ketua Jabatan; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jamili di perkarangan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman serta sejahtera. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.
“Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila,” katanya ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2023 di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim Gunsalam menyempurnakan gimik perasmian bersama dengan tetamu kehormat di perkarangan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.
Hajiji berkata, penerapan semangat patriotisme dalam setiap rakyat bukan sahaja menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka, tetapi juga mampu membina kerukunan jitu dalam kalangan rakyat bagi menghadapi cabaran besar yang mendatang.
“Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang Bulan Kebangsaan ini, termasuklah Kembara Merdeka Negaraku anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang akan menjelajah ke seluruh negeri bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.
“Aktiviti lain yang dirancang antaranya Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Pertandingan Mencipta Video Pendek Kreatif Di Sabahfm, Doa Sayangi Malaysia, Ceramah Cinta Negara dan Program Semarak Gemilang,” katanya.

Dr. Joachim Gunsalam (tiga dari kanan) menyempurnakan pelepasan (flag off) Kembara Merdeka Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri menegaskan pentingnya sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak termasuklah jabatan dan agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan serta rakyat untuk merealisasikan pembangunan yang disusun dalam pelan pembangunyan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di bawah Hala Tuju SMJ, yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya mula membuahkan hasil. Sabah telah melakar pelbagai pencapaian membanggakan yang tercermin melalui peningkatan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini dalam tempoh berkenaan.
“Justeru, dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi serta perpaduan rakyat di semua peringkat adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.