Pita Limjaroenrat bercakap kepada media selepas keputusan undian Parlimen diumumkan di Bangkok, Thailand.
BANGKOK: Kemelut politik Thailand semakin meruncing apabila pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat kalah dalam undian Parlimen pusingan pertama, kelmarin dengan kekurangan 51 undi daripada jumlah yang diperlukan.
Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat ahli politik berusia 42 tahun itu untuk merangka strategi baharu bagi meraih lebih banyak undian pada pusingan akan datang yang dijangka diadakan pada minggu depan.
MFP merekodkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Thailand yang diadakan pada 14 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, lapan parti dalam pakatan politik Pita mengawal 312 kerusi di Parlimen, namun sebanyak 375 undian diperlukan untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan.
Apabila undian ditutup, Pita memperoleh 323 undi, termasuk 13 daripada 249 anggota konservatif yang dilantik oleh junta tentera selepas rampasan kuasa pada 2014.
Sebanyak 182 ahli Parlimen yang lain menentang pemilihan beliau sebagai perdana menteri baharu Thailand dengan 198 lagi berkecuali.
Banyak senator menolak agenda MFP, termasuk rancangan kontroversi, iaitu meminda undang-undang yang melarang penghinaan monarki dan membatalkan peranan tentera dalam politik.
“Saya terima kekalahan ini, namun saya tidak akan berputus asa.
“Saya tidak menyerah kalah dengan mudah dan akan menggunakan masa yang ada untuk meraih sebanyak mungkin undian pada pusingan seterusnya,” kata Pita kepada media selepas keputusan undian diumumkan.
Undian kelmarin menandakan detik penting dalam arena politik negara ini selepas MFP mencatat kejayaan mengejutkan dalam pilihan raya lepas.
Selain itu, timbul juga kebimbangan pelbagai pihak mengenai ketidakstabilan politik baharu Thailand yang sebelum ini menyaksikan puluhan rampasan kuasa berlaku dalam tempoh seabad lalu.
Kekalahan Pita meraih undian Parlimen merupakan tamparan hebat buatnya serta MFP, ditambah dengan persetujuan Mahkamah Perlembagaan Thailand untuk meneliti dua aduan yang dibuat terhadap mereka.
Mahkamah bersetuju untuk meneliti aduan berkaitan MFP berhubung rancangannya untuk meminda undang-undang melarang menghina institusi raja di negara ini.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengesyorkan supaya Pita disingkirkan sebagai ahli Parlimen.
Hal itu berikutan siasatan terhadap pemilikan salam Pita di sebuah syarikat media.
Ahli politik tidak dibenarkan memiliki sebarang saham dalam syarikat media di negara ini.
Pita boleh bertanding merebut jawatan perdana menteri negara ini jika beliau dicalonkan sekali lagi.
Para penyokong Pita memaklumkan, situasi yang berlaku ketika ini adalah usaha sesetengah pihak untuk menghalang Pita daripada dipilih sebagai perdana menteri baharu Thailand.
Semua pakatan Pita kini perlu memutuskan sama ada untuk mengundi beliau sekali lagi dalam pusingan kedua atau meletakkan calon lain.
Di luar Parlimen, sejumlah penyokong Pita menzahirkan rasa marah dan kecewa terhadap keputusan undian.
“Sudah jelas menunjukkan Senator tidak bersama rakyat. Pilihan raya yang lepas tidak membawa makna apa-apa kepada mereka,” kata seorang penyokong Pita.
Seorang lagi penyokongnya memberitahu, dia berharap semua masalah yang berlaku dapat diselesaikan segera.
“Thailand sepatutnya bergerak ke hadapan, bukannya membuang masa seperti ini. Rakyat sudah pun memilih dan itulah ketentuannya,” ujarnya.