Mayat mangsa jatuh dari jambatan gantung di Tuaran ditemukan 102 kilometer di Kudat.
TUARAN: Mayat seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai dari Jambatan Gantung Kg. Damat-Kg. Lakang, Tuaran pada 8 Julai lepas telah ditemui di Kudat, kira-kira 102 kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, mangsa, Mohd. Hisham Iskandar Azli ditemukan di tepi pantai perairan Kg. Rukom, Kudat pada jam 9.10 pagi tadi oleh orang awam dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pengecaman identiti mangsa oleh ahli keluarga dibuat pada jam 4.15 petang hari ini dan operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang,” kata beliau.
Mangsa bersama lima orang rakan dilaporkan berada di atas jambatan gantung tersebut apabila mangsa tergelincir dan jatuh ke dalam sungai kira-kira lapan hari lalu.
Mangsa berpakaian baju warna kuning dan berseluar hitam semasa kejadian itu.































