Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan itu.
TUARAN: Dua orang lelaki cedera apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah lori di sini pada pagi ini.
Mereka merupakan antara 33 orang yang berada dalam bas ekspres tersebut ketika kejadian itu berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Tamparuli – Ranau pada jam 5 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hasmaddy Agum dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian sejauh 13 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan telah berlaku melibatkan sebuah lori dengan muatan kayu dan sebuah bas ekspres (Semporna-Kota Kinabalu).
“Terdapat dua orang mangsa lelaki berumur 29 dan 31 tahun iaitu penumpang bas ekspres tersebut mengalami kecederaan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Mohd. Qawie, mangsa seterusnya di hantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Tambahnya, terdapat seramai 33 orang di dalam bas ekspres berkenaan termasuk pemandu dan pembantu pemandu ketika kejadian.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 6 pagi,” katanya.





























