Tentera Russia mengawal sekitar loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Energodar.
KYIV: Ukraine mendakwa Russia mungkin merancang untuk meletupkan loji janakuasa nuklear utama di negara itu.
Dakwaan itu dibuat ketika sebahagian empangan hidroelektrik utama era Soviet di selatan Ukraine yang dikawal Russia dilaporkan pecah.
Empangan di Nova Kakhovka pecah sehingga menyebabkan banjir besar-besaran melanda di wilayah Kherson.
Malah, kemusnahan empangan Nova Kakhovka itu turut mencetuskan bencana dan krisis kemanusiaan yang teruk.
Menurut Utusan Malaysia, loji Zaporizhzhia merupakan kemudahan tenaga nuklear terbesar di Eropah.
Ia terletak kira-kira 128.7 kilometer (km) di kawasan sungai Dnieper dari empangan Kakhovka yang pecah akibat letupan pada 6 Jun lalu.
Sejak pencerobohan pada Februari tahun lalu, kebimbangan bencana nuklear boleh berlaku tercetus apabila loji Zaporizhzhia berdepan serangan berulang kali selain operasi kemudahan itu juga pernah dihentikan buat sementara waktu.
Kini, kebimbangan sama berulang apabila pihak berkuasa Ukraine mendakwa loji tenaga nuklear Zaporizhzhia mungkin terjejas akibat kemusnahan empangan Kakhovka.
Bagaimanapun, syarikat tenaga nuklear Ukraine, Energoatom mengisytiharkan bahawa kolam penyejukan di kemudahan Zaporizhzhia masih penuh dan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk diuruskan.
Empangan Kakhovka dilaporkan membekalkan air kepada loji tenaga nuklear Zaporizhzhia.
Setiausaha Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine, Oleksiy Danilov turut menegaskan tindakan Russia seterusnya mungkin menyerang loji Zaporizhzhia yang boleh mengakibatkan bencana nuklear.
Pakar dari badan pemikir Royal United Services Institute (RUSI), Darya Dolzikova dan Jack Watling meneliti sama ada Russia berisiko memusnahkan loji janakuasa nuklear terbesar di Eropah itu.
Pakar berpandangan Russia mungkin boleh meletupkan loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia.
Ini ekoran kemudahan itu terletak di kawasan yang diduduki Russia.
Malah, katanya, sebahagian besar pasukan tentera negara itu turut ditempatkan di loji berkenaan.
“Russia dipercayai mempunyai lombong selain menyimpan peluru serta dan bahan letupan di dalam dan sekitar bangunan reaktor itu,” jelasnya.
Sebelum ini, agensi tenaga nuklear Ukraine memaklumkan sebuah lombong milik Russia meletup berhampiran bilik enjin reaktor nuklear keempat.
Lebih ramai tentera Russia dikerahkan ke loji serta memperhebatkan lagi kedudukan pertahanan mereka sementara pasukan Ukraine mengukuhkan teknik serangan balas.
Ketika ini, lebih ramai anggota tentera ditempatkan di loji tenaga nuklear Zaporizhzhia berbanding jumlah pekerja sedia ada.
Oleh itu, pasukan pakar mendakwa, tentera Russia boleh mencetuskan letupan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja di tapak berkenaan.