Dr. Eva Candra Susanti Suhali
RANAU: Masyarakat di daerah ini digalakkan untuk menggunakan talian kecemasan 999 untuk menghubungi pihak Hospital Daerah Ranau sekiranya berlaku kecemasan.
Pengarah Hospital Daerah Ranau, Dr. Eva Candra Susanti Suhali berkata, rekod hospital menunjukkan ada penurunan terhadap penggunan talian kecemasan tersebut di daerah ini.
Katanya, dikhuatiri juga jika masyarakat setempat tidak lagi menyedari akan kewujudan talian 999 mengakibatkan berlaku kelambatan dalam melaporkan sebarang kes kecemasan.
“Panggilan kecemasan melalui talian 999 sebenarnya telah diperkenal bagi tujuan kecemasan di Hospital Ranau bermula sejak 2018 lagi namun penggunaan talian tersebut semakin merosot.
“Setakat ini secara purata talian 999 mendapat hanya satu atau dua panggilan sebulan dan Ranau menunjukkan prestasi menurun dalam penggunaan talian kecemasan 999.
“Pada 2020, kita menerima 23 peratus panggilan kecemasan melalui 999. Pada 2021, ia menurun kepada 11.9 peratus dan tahun lalu, 0 peratus. Ini menunjukkan kurang kesedaran umum akan kepentingan talian kecemasan 999,” katanya.
Tambah Dr. Eva, orang awam lebih suka menggunakan nombor telefon langsung ke Bahagian Kecemasan Hospital Ranau, walaupun sepatutnya mereka boleh menghubungi talian 999.
Justeru, beliau berharap masyarakat awam di sini menyedari akan kewujudan talian tersebut dan menggunakan nombor kecemasan 999 dan bukan menghubungi talian lain.
Sementara itu, beliau memberitahu, Hospital Ranau sangat memerlukan segera penambahan anggota kerja dengan penaiktarafan beberapa fasiliti.
Pada masa ini katanya, Hospital Ranau mempunyai seramai 18 orang doktor, 32 orang pembantu perubatan, 106 orang jururawat, 11 orang kakitangan farmasi dan dibantu oleh beberapa orang anggota kerja yang lain.
“Hospital daerah ini juga mempunyai empat buah ambulans yang berfungsi dan giat digunakan bagi tujuan menghantar dan mengambil para pesakit yang memerlukan,” jelas beliau.































