Lengan kanak-kanak yang dibaham buaya di perairan Kampung Batu Putih, Sandakan baru-baru ini.
SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mengalami kecederaan akibat diserang buaya semasa berenang di kawasan perumahan atas air di Kampung Batu Putih, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa difahamkan diserang buaya semasa berenang pulang ke rumahnya.
Menurut Utusan Malaysia, Pembantu Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Mozain Abbas berkata, kanak-kanak itu menerima lapan jahitan di lengan sebelah kanan dan cedera di bahagian bahu kanan dan kepala.
Beliau berkata, kanak-kanak bukan warganegara tersebut difahamkan sedang berenang bersama seorang rakannya dari rumah jiran menuju balik ke rumah mangsa sebelum diserang dan dibaham buaya yang berada di kawasan perairan tersebut.
“Mangsa dibaham di bahagian tangan namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan oleh bapanya, Ubing Markum, 39.
“Mangsa dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Keadaan mangsa stabil dan tidak ada kecederaan serius yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mozain, selepas insiden itu, JHL Sandakan bertemu dengan bapa mangsa untuk mengambil maklumat dan melihat keadaan mangsa.
Katanya, apabila tinjauan dibuat di lokasi tersebut, tiada kelibat buaya kelihatan kerana air telah surut sepenuhnya.
Justeru, beliau menasihatkan penduduk di perkampungan atas air itu supaya sentiasa berwaspada apabila melalui jalan yang digenangi air pasang.
Penduduk kampung juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai demi keselamatan.