Tertuduh diiring anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka
MELAKA: Tindakan seorang duda anak tiga mengugut ibu kandung sendiri dengan pisau untuk mendapatkan wang berbalas, selepas Mahkamah Majistret di sini, kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadapnya.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Mazana Sinin membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Wira Md. Aris, 41, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu sendiri berusia 66 tahun dengan maksud hendak menakutkan menggunakan sebilah pisau dalam keadaan marah untuk meminta wang.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di ruang dapur sebuah rumah bernombor di Bertam Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 22 September 2022.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM800 sebulan dan menanggung tiga orang anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan penjara 24 bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Mei 2023.