Masidi (tengah) berbual bersama Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kanan) sambil diperhatikan oleh Menteri Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim (kiri) sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula hari ini.
KOTA KINABALU: Kutipan cukai jualan negeri (CJN) industri kelapa sawit telah menyumbang sebanyak RM19.25 bilion kepada hasil negeri sepanjang 23 tahun sejak ia dilaksanakan bermula tahun 1999 sehingga tahun lalu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, untuk tahun 2022 sahaja, kutipan CJN adalah berjumlah RM1.57 bilion yang menyumbang hampir 23 peratus kepada hasil negeri.
Oleh itu, katanya, kutipan CJN ke atas minyak sawit mentah adalah sumber pendapatan negeri yang amat penting di mana ia memberi sumbangan yang sangat signifikan dalam menyokong agenda belanjawan negeri terutamanya dalam membiayai pelbagai pembangunan fizikal dan infrastruktur, ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan rakyat di Sabah secara keseluruhan.
“Sesungguhnya cukai keuntungan syarikat adalah dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bagi membolehkan Kerajaan Negeri Sabah turut menikmati secara langsung limpahan manfaat industri kelapa sawit yang merupakan salah satu nadi utama kepada ekonomi negeri, maka bermula tahun 1999 Kerajaan Negeri telah mengenakan cukai jualan negeri ke atas minyak sawit mentah.
“Justeru, Kerajaan Negeri berpendirian untuk mengekalkan pengenaan cukai tersebut,” kata beliau yang juga merupakan ADUN Karanaan.
Dalam pada itu, Masidi memberitahu bahawa berdasarkan maklumat yang diterima daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setakat ini, Sabah mempunyai 132 buah kilang pemprosesan kelapa sawit dan 14 buah kilang penapis.
“Daerah Sandakan khususnya, mempunyai jumlah kilang terbanyak di negeri ini iaitu 66 buah kilang pemprosesan dan 4 buah kilang penapis, manakala, daerah Keningau mempunyai empat buah kilang pemprosesan.”
Masidi berkata, pada tahun 2022, sektor kilang kelapa sawit telah memberi pekerjaan kepada 5,869 pekerja di kilang pemprosesan dan 631 pekerja di kilang penapis.
“Daripada jumlah tersebut, warga tempatan memenuhi 1,789 pekerjaan atau 30.4 peratus di kilang pemprosesan dan sebanyak 626 pekerjaan atau 98.9 peratus di kilang penapis.
“Maka, realiti kesan pembinaan kilang-kilang pemprosesan dan juga penapis ini telah membawa impak ekonomi setempat yang positif dengan penggunaan tanah yang lebih produktif, pembangunan prasarana dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang mampu menjana dan meningkatkan pendapatan.
“Dalam pada itu, kesan pengganda dapat dinikmati oleh sektor ekonomi lain seperti sektor peruncitan dan sektor hartanah dengan meningkatnya permintaan domestik bagi barangan dan perkhidmatan,” kata beliau.
Masidi menjawab pertanyaan daripada Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Chong bertanya mengapakah kerajaan masih lagi mengenakan cukai 7.5% sedangkan industri perladangan masih lagi berhadapan dengan kekurangan pekerjaan, manakala
Mohd. Shafie pula bertanya apakah tindakan Kerajaan Negeri agar hasil keuntungan syarikat perladangan kelapa sawit yang beroperasi di Sabah turut dinikmati oleh penduduk tempatan kerana terdapat syarikat tersebut sudah lama beroperasi di Sandakan namun tiada sumbangan ekonomi yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi di Sandakan dan Keningau.
Menurut Masidi, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di Sandakan yang dikendalikan oleh Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn Bhd sebuah anak syarikat Sawit Kinabalu Sdn Bhd.
Selain daripada industri berasaskan kelapa sawit, katanya, industri berasaskan makanan, pengilangan dan pembuatan serta pembangunan komersial juga dirancang dan dipelawa untuk menjalankan perniagaan dan pengilangan di POIC Sandakan.
“Setakat ini, industri yang telah wujud dan beroperasi di POIC Sandakan adalah Tangki Simpanan Pukal (Bulking Facility), Jeti Sawit dan Fasiliti gudang yang telah menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
“Di samping itu, jeti sawit di POIC Sandakan telah dinaik taraf sebagai jeti berstatus pelabuhan. Usaha ini secara langsung dapat mempergiatkan lagi industri perkapalan untuk hal-hal logistik pengangkutan produk-produk ke dalam dan luar negara,” kata beliau.
Dalam usaha untuk memperkembangkan POIC Sandakan, Masidi berkata, prasarana asas seperti bekalan elektrik, bekalan air akan ditingkatkan dan dinaik taraf serta bekalan gas petroleum akan diwujudkan bagi menarik minat lain-lain industri bagi menjalankan perniagaan dan pengilangan di POIC Sandakan.
“InsyaAllah, dengan usaha-usaha dan penglibatan Kerajaan dan pihak swasta sendiri, ini, secara tidak langsung mampu memberi sumbangan ekonomi signifikan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Sandakan bahkan di seluruh negeri Sabah.
“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan akan melipatgandakan usaha dalam memastikan manfaat industri kelapa sawit dapat menyokong aspirasi pembangunan negeri agar dapat terus dinikmati oleh rakyat Sabah,” jelas beliau.