KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM108.91 juta dari segi hasil jualan air setakat 23 Mei, 2023.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan 36 peratus daripada anggaran kutipan hasil yang disasarkan sehingga hujung tahun ini iaitu sebanyak RM300 juta.
Beliau memaklumkan bahawa Purata Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) juga kini berada pada tahap 56.7 peratus setakat 23 Mei 2023.
JANS, katanya, menyasarkan penurunan NRW kepada 54 peratus menjelang penghujung tahun ini.
Menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini, Shahelmey berterima kasih kepada ADUN-ADUN daripada Sindumin, Senallang, Merotai, Bugaya, Kemabong, Tanjong Aru, Kapayan, Kukusan dan lain-lain yang prihatin dan membangkitkan isu bekalan air di Sabah.

Shahelmey Yahya
“Peranan Kementerian saya adalah untuk merancang dan melaksanakan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan kemudahan jalan raya, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembetungan, perkhidmatan keretapi, pelabuhan, jeti, bekalan elektrik untuk kesejahteraan rakyat.
“Dalam peranan berat ini cabaran adalah wajib dan aktif lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan pembangunan perumahan dan industri yang begitu pesat dengan kekangan kewangan dan perancangan yang terganggu atas pelbagai sebab.
“Namun demikian, dalam cabaran-cabaran ini, jabatan dan agensi di bawah Kementerian saya telah berjaya dan sentiasa terus peka dan berusaha semampunya dalam melaksanakan beberapa program dan projek yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam memastikan pembangunan di negeri ini berkekalan dan berterusan,” katanya.
Shahelmey berkata, cabaran infrastruktur dan utiliti yang dihadapi hari ini harus dinilai seikhlas dan sewajarnya, mengambil kira bukan sahaja apa yang ada di hadapan sekarang, tetapi juga apa yang telah berlaku di sepanjang tempoh sebelumnya.
Justeru, katanya, Kementeriannya peka dengan mengesan dan merangka penambahbaikan dari penstrukturan, urus tadbir dan perlaksanaan program dengan kolaborasi bersama pihak profesional dan pihak berkepentingan peringkat negeri dan juga nasional.
JANS, tambahnya, telah dipertanggungjawabkan ke atas perihal dan perancangan pembangunan infrastruktur bekalan air terawat di negeri sabah.
“JANS juga berusaha meningkatkan tahap perkhidmatan yang efisien, berkualiti dan mesra untuk kepuasan pelanggan melalui pelaksanaan Perancangan dan Pembangunan Bekalan Air Negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu melalui program-program utama bekalan air Sabah.
“Ini termasuk Program Pembangunan Bekalan Air Negeri di bawah biayaan Kerajaan Negeri; Program Bekalan Air Serta-Merta / Rancangan Bekalan Air Negeri Sabah melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC); dan Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, kata Shahelmey, isu bekalan air di Sabah sering menjadi tajuk utama di media massa dan media sosial.
Justeru, katanya, Kementeriannnya mengambil maklum berkenaan kekurangan bekalan air terawat yang amat membimbangkan.
“Situasi genting berhubung kekurangan air semasa terutama di bandar-bandar utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, serta masalah-masalah yang melibatkan operasi dan penyenggaraan aset Jabatan yang kerap mengganggu bekalan air telah memaksa Kementerian untuk menyusun semula perancangan agar langkah-langkah tindakan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan untuk menangani isu air yang semakin mendesak,” katanya.
Shahelmey berkata, anggaran sejumlah RM18.37 bilion diperlukan untuk membolehkan JANS melaksanakan tindakan dan mitigasi yang telah dikategorikan sebagai mendesak dan perlu dilaksanakan mengikut keperluan jadual perancangan bagi memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan dengan sempurna untuk kesejahteraan rakyat di negeri Sabah.
Antara cadangan atau program bagi menangani masalah bekalan air terawat di Sabah termasuk membina, menaik taraf dan memulihkan sistem pengeluaran air.
Katanya, ini adalah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan air terawat di mana sebanyak 20 projek membina, menaiktaraf dan memulih Sistem Pengeluaran Air telah diberi keutamaan dengan anggaran kos keseluruhannya berjumlah RM12 billion.
Tambahnya lagi, Kerajaan juga turut mengadakan Projek Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil.
Bagi mengurangkan kadar kehilangan air NRW yang menyebabkan kerugian dalam kutipan hasil negeri, katanya, dua Projek Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil telah disenaraikan iaitu Program Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil dan Program Pemasangan Smart Meter di seluruh Sabah.
JANS juga membuat Projek Membina, Menaik Taraf dan Mengganti Sistem Agihan Air dan Projek Membina, Menaik taraf dan Mengganti Pam Air dan Janakuasa.
“Bagi meningkatkan kecekapan Bekalan Air Terawat, infrastruktur usang perlu dinaiktaraf atau diganti. Sebanyak 13 projek seumpama itu perlu dilaksanakanan,” kata beliau.
Shahelmey menambah, JANS juga berusaha meningkatkan kadar liputan bekalan air terawat di kawasan luar bandar memandangkan kadar liputan air luar bandar negeri Sabah adalah 61% setakat ini.
Justeru itu, katanya, bagi meningkatkan kadar liputan bekalan air terawat di kawasan luar bandar, 18 buah projek telah disenaraikan.
Beliau berkata, JANS juga menjalankan projek peningkatan kualiti air.
“Gangguan kualiti air mentah yang berpunca daripada kekeruhan tinggi, paras air cetek, penyusupan air masin dan ammonia atau manganese sering menyebabkan operasi Loji Rawatan Air terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan gangguan kepada kualiti air terawat selaras kepada pematuhan National Standard Drinking Water Quality akibat bebanan proses rawatan yang melebihi keupayaan Loji Rawatan Air sedia ada.
“Justeru itu, bagi memastikan penutupan Loji Rawatan Air dapat diminimakan dan meningkatkan keupayaan menangani impak daripada masalah kualiti air mentah, sebanyak 4 Projek Peningkatan Kualiti Air telah disenaraikan,” kata beliau.
Seterusnya, Shahelmey berkata, projek membina serta menaik taraf pejabat-pejabat JANS turut dilaksanakan.
“Bagi menyediakan kemudahan ruangan Pejabat yang lebih kondusif dan memberikan keselesaan bukan sahaja kepada kakitangan JANS, tetapi juga untuk manfaat masyarakat selaku pelanggan kepada JANS, sebanyak tiga projek telah disenaraikan.
“Bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dalam pengurusan bekalan air terawat melalui transformasi teknologi digital, satu projek telah dirancang untuk membangunkan sistem pemantauan dan pengurusan sistem maklumat rangkaian bekalan air,” katanya.
Tambah beliau, pemerkasaan sumber manusia yang melibatkan pengisian kesemua jawatan-jawatan yang diperlukan oleh JANS amat diperlukan untuk memastikan operasi dalam penyaluran bekalan air terawat oleh JANS berada pada tahap yang terbaik.
“Dengan mempunyai kakitangan penguatkuasaan yang mencukupi, kadar tunggakan hasil yang tinggi akan dapat diatasi secara tidak langsung akan dapat meningkatkan hasil negeri,” katanya.





















