Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengenalpasti langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani masalah air di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Kementeriannya melalui JANS memang sedar akan isu bekalan air yang sedang dihadapi lebih-lebih lagi ketika musim cuaca panas yang dijangka akan melanda di Sabah menjelang pertengahan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. Mohd. Shafie bertanya mengenai perancangan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah tersebut.
Berterima kasih kepada Mohd. Shafie kerana membangkitkan masalah yang umumnya semua telah maklum isu bekalan air di Sabah ini telah berlarutan agak sekian lama, Shahelmey berkata, antara isu-isu utama yang dihadapi oleh JANS pada masa ini adalah kejadian paip bocor, paip usang, kecurian air, kualiti sumber air mentah yang semakin merosot dan permintaan air yang melebihi kapasiti pengeluaran air.
Beliau berkata, beberapa langkah penyelesaian jangka masa pendek serta jangka masa panjang telah dan sedang dilaksanakan melibatkan bukan sahaja kawasan Bandaraya Kota Kinabalau dan sekitarnya, malah seluruh negeri.
“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, untuk kejadian paip bocor JANS telah dan akan menawarkan kontrak-kontrak penyelenggaran paip mengikut zon-zon di seluruh negeri bagi menggantikan paip yang usang dan berkarat.
“Selain itu, sekiranya terdapat aduan ataupun laporan kebocoran paip atau paip pecah dari pengguna atau orang awam, pihak JANS akan mengambil tindakan segera dalam jangka masa 24 jam agar kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan.
“Kecurian air (direct tapping/illegal tapping) yang semakin berleluasa, mengakibatkan peningkatan Non Revenue Water (NRW),” jelasnya.
Bagi mengatasi masalah ini katanya, pihak JANS melaksanakan satu kontrak Prabayar / Small Power Producer Water di kawasan atau tempat-tempat yang telah dikenal pasti padat penduduk atau zon-zon yang berpotensi berlakunya kecurian air.
Selain itu katanya, operasi bersepadu yang melibatkan pihak-pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memantau dan menangani masalah ini agar isu kecurian air semakin berkurangan dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum.
Pada masa yang sama, Shahelmey berkata, JANS akan melaksanakan pengambilan pekerja sambilan harian seramai 2011 orang bagi mengisi jawatan bagi mempertingkatkan kecekapan pengurusan danpemantauan bekalan air serta menyokong usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam mencapai sasaran kadar NRW Kebangsaan.
Sementara itu, bagi isu kualiti air mentah pihak Kementeriannya dan JANS menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi lain untuk memelihara dan menjaga kawasan tadahan air (catchment area) melalui Majlis Sumber Air Negara.
“Tindakan Penyelesaian Jangka Panjang JANS menerima permintaan bekalan air terawat yang tinggi bagi menampung permintaan domestik dan komersial/industri setiap hari.
“Bagi memastikan permintaan ini dapat dipenuhi, pihak JANS sedang melaksanakan tiga buah projek di kawasan Kota Kinabalu dan kawasan utara.
“Projek-projek yang sedang dilaksanakan adalah Projek Penambahan Kapasiti dari 80 JLH kepada 160JLH Telibong 2 Fasa 2, Tuaran, Urgent Water Supply Scheme Telibong 1, Urgent Water Supply Scheme Telibong 2,” kata beliau.
Shahelmey berkata, bagi daerah Tawau pula, antara projek-projek yang sedang dilaksanakan pada masa ini adalah Skim Bekalan Air Tawau : Empangan Tawau yang kini di fasa pembinaan.
Bagi Daerah Lahad Datu, katanya, terdapat satu projek kini di dalam fasa pembinaan iaitu Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Lahad Datu Fasa 1 di kawasan Segama, Lahad Datu.
Bagi Daerah Papar pula, terdapat satu buah projek yang akan bermula kerja – kerja pembinaan iaitu Projek Penambahan Kapasiti daripada 40 JLH kepada 80 JLH Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2, yang dijangka bermula pada Julai/Ogos tahun ini.
Shahelmey berkata, Kementeriannya melalui JANS juga merangka pelan jangka masa panjang yang lebih teratur.
“Antara projek-projek yang akan dibina dan dirancang adalah Kajian Kemungkinan dan Konsep Rekabentuk Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III, status projek kini di peringkat kajian konsep.
“Bagi daerah Tawau, terdapat dua projek baharu yang telah diluluskan dalam Rolling Plan 3 melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kementererian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu Projek Pembinaan LRA Cinta Mata 2 dan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sistem Bekalan Air Balung dan Sekitarnya.
“Bagi daerah Sandakan, pihak JANS akan menyenaraikan cadangan pemindahan muka sauk Loji Rawatan Air Segaliud, Sandakan ke Sungai Meliau atau Sungai Kinabatangan sebagai potensi sumber air mentah baharu,” kata beliau.
Menurut Shahelmey, cadangan ini akan turut melibatkan kajian dan rekabentuk terperinci bagi menaiktaraf loji air sedia ada serta pembinaan sistem saluran paip air mentah dari sumber air mentah baharu ke Empangan Betotan, Segaliud, Sandakan.
“Cadangan ini akan dimasukkan sebagai senarai keutamaan dalam Rolling Plan ke-Lima (RP5) RMK-12, dibawah program Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Cadangan penyelesaian jangka panjang bagi Daerah Beaufort, JANS telah menyenaraikan Cadangan Pembinaan Kolam Takungan (Off River Storage) di daerah Beaufort dalam Rolling Plan 4, Tahun 2024 RMK12 di bawah program Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Takungan kolam ini dapat menampung bekalan sumber air mentah yang akan diproses masuk ke dalam loji rawatan air tanpa henti tugas atau mengalami kekeruhan sumber air mentah yang sangat tinggi. Bagi Daerah Sipitang, pihak JANS mencadangkan Cadangan Sistem Bekalan Air Daerah Sipitang Fasa I di dalam Projek Berimpak Tinggi,” kata beliau.
Dengan adanya projek ini, Shahelmey berkata, maka permintaan air secara domestik dan komersial di sekitar Sipitang dapat dibekalkan air terawat dengan konsisten dan terjamin.
Di samping itu katanya, JANS telah mencadangkan Sistem Bekalan Air Lahad Datu Fasa II (Lahad Datu Water Supply Phase II) di bawah Biayaan Pinjaman Mudah Persekutuan.
“JANS juga merancang untuk menambah kakitangan bagi menampung keperluan tugasan sedia ada dan masa akan datang khususnya apabila loji rawatan air yang siap dibina kelak.
“Pihak JANS juga telah menyiapkan kerangka struktur organisasi melibatkan penambahan kakitangan seramai 500 orang.
“JANS telah menyediakan pelan tindakan pemantauan operasi dan kecemasan bagi menghadapi kemungkinan kesan EL Nino yang diramalkan melanda negara bermula pertengahan tahun ini,” jelas beliau.































