Jainisah (kanan) ketika sesi temubual oleh pengacara program Kami Bah Ini (KBI), Raydwin Robin(kiri).
KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran Logo dan Tema Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023, Sabtu ini.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata pelancaran itu akan diadakan di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu pada jam 11.00 pagi yang berlangsung serentak di dua lokasi berbeza iaitu Esplanade Suria KLCC, Kuala Lumpur dan Mydin Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun seawal 26 Mei antaranya, pameran dari agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital serta rakan strategik.
“Bagi menambah kemeriahan majlis, persembahan tarian tempatan, busking oleh PENTARAMA JaPen Sabah, sudut photo booth, Pameran Pembentukan Negara Malaysia, Sudut Kenegaraan dan Pusat Maklumat Rakyat Outreach juga akan diadakan.
“Turut menjadi tumpuan, persembahan khas oleh seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Sabah yang akan membuat persembahan khas secara serentak bersama 200 pelajar sukarelawan Institut Pengajian Tinggi Awam dari dua lokasi lain pelancaran tersebut,”katanya ketika ditemui media selepas sesi temubual program Kami Bah Ini (KBI) oleh Jabatan Penyiaran Malaysia, pada Isnin.
Majlis Pelancaran Logo dan Tema HKHM berkenaan akan disiarkan serentak dan secara langsung di TV1, RTM pada 27 Mei 2023, pukul 11.20 pagi bagi penyiaran di tv, radio dan atau secara FB Live melalui Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Jabatan Penerangan Malaysia dan Merdeka360.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dengan melayari portal rasmi HKHM 2023 di www.Merdeka360.my.