James Ratib
KOTA KINABALU: Kerajaan menyediakan pelbagai insentif bagi mengekalkan pakar-pakar perubatan untuk berkhidmat di Sabah, termasuk di daerah Sandakan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga sedar tentang keperluan untuk menambah pakar-pakar perubatan di Sabah termasuk di daerah Sandakan.
Beliau berkata, antara pakar-pakar perubatan yang memerlukan penambahan adalah seperti pakar jantung dan pakar pembedahan.
“Mengikut maklumat JKNS, terdapat 11 daripada 24 hospital di Sabah yang akan terlibat dalam penambahan bilangan pakar perubatan,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjong Papat) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Mereka bertanya perancangan Kerajaan Negeri untuk menambah dan mengekalkan pakar-pakar perubatan yang berkhidmat di Sabah.
Berhubung dengan usaha mengekalkan pakar-pakar perubatan untuk berkhidmat di Sabah termasuk di daerah Sandakan, James berkata, Kementeriannya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan pelbagai insentif yang berkenaan.
Katanya, nsentif yang dimaksudkan seperti Bayaran Insentif Penempatan Pakar (BIPP) (maksimum RM2,500 mengikut gred) dan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) (maksimum RM2,000 mengikut gred) untuk Sabah dan Sarawak di samping elaun pakar yang sedia ada untuk kesemua pakar perubatan yang terlibat.
“Pada masa yang sama, doktor-doktor pakar juga diberi peluang untuk menjalankan khidmat kepakaran di fasiliti-fasiliti swasta mengikut ketetapan KKM.
“Walau bagaimanapun, memang terdapat kesukaran untuk mengekalkan doktor-doktor pakar di hospital-hospital disebabkan oleh pelbagai faktor seperti komitmen keluarga yang berasal dari luar negeri Sabah,” jelas beliau yang juga merupakan ADUN Sugut.