Andi (tengah) merakamkan gambar bersama dengan Usahawan PMKS pada Jumaat.
SANDAKAN: Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan logo ‘Authentic Sabah’ dalam bentuk hologram yang akan diedarkan secara percuma kepada semua usahawan yang berdaftar dengan DIDR.
Tujuan cetakan hologram ini adalah bagi mengatasi masalah lambakan produk yang menggunakan identiti produk Sabah tetapi diproses atau dikilangkan di luar negeri Sabah.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, terdapat tiga kriteria utama bagi penerima label hologram tersebut.
“Yang penting, produk mesti dihasilkan di negeri Sabah, produk boleh menembusi pasaraya tempatan, luar negeri atau eksport dan produk yang memenuhi piawaian pembungkusan yang ditetapkan oleh pasaraya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui MIDE sememangnya komited dalam pembangunan usahawan.
“Perkara ini dijelaskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dan diterjemahkan melalui Misi Kementerian iaitu menggalakkan PMKS sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan.
“Pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Sabah bagi tahun 2021, Sektor Pembuatan telah menyumbang sebanyak 7.5% bersamaan RM 5.9 Bilion. Daripada jumlah ini, 69% disumbangkan oleh Industri Pemprosesan Makanan yang terdiri daripada Usahawan PMKS di negeri Sabah.
“Sehubungan itu, bagi meningkatkan sumbangan Sektor Pembuatan kepada KDNK negeri Sabah, Usahawan PMKS perlu memainkan peranan dengan meningkatkan hasil produk usahawan untuk pasaran tempatan dan juga luar negeri,” kata Andi.
Menurut Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu itu lagi, atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada Usahawan PMKS di negeri Sabah, jumlah peruntukan bagi Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS) pada tahun 2023 telah meningkat kepada RM 15 Juta berbanding RM 10 Juta peruntukan disediakan pada tahun 2022.
Dengan tambahan peruntukan ini, katanya, pihak Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dapat menambah kategori bantuan kepada Program Persijilan MeSTI dan Halal yang mana program ini akan membantu mengurangkan bebanan kepada Usahawan PMKS bagi mendapatkan Pensijilan MeSTI dan Halal pada produk mereka.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sesi Libat Urus Usahawan PMKS Bersama Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan yang diadakan di Hotel Livingston, di sini pada Jumaat.
Sesi Libat Urus tersebut diadakan bertujuan untuk menyampaikan informasi serta maklumat terkini kepada Usahawan PMKS sekitar Sandakan berhubung dengan inisiatif, program, geran bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kementerian termasuk Agensi di bawahnya.
“Sesi Libat Urus ini juga merupakan platform yang terbaik untuk memberikan pendedahan kepada para usahawan dan bakal usahawan tentang hala tuju dalam mengukuhkan lagi perniagaan, di samping mengiktiraf sumbangan para usahawan khususnya di daerah sekitar Sandakan dalam pembangunan ekonomi serta membantu merancakkan lagi sosioekonomi masyarakat setempat.
“Program sebegini akan dapat memantapkan lagi pengembangan perniagaan para usahawan dan koperasi supaya komuniti ini dapat mengembangkan perniagaan yang lebih besar, berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan di peringkat domestik dan seterusnya di arena global,” kata Andi.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa keusahawanan adalah untuk semua dan ianya tidak hanya terhad kepada sesetengah individu tertentu sahaja.
“Jurang pendapatan antara rakyat akan dapat dikecilkan dengan aktiviti keusahawanan melalui penjanaan pendapatan serta pewujudan peluang pekerjaan baharu seterusnya merangsang pertumbuhan sosioekonomi negara.
“Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan terutamanya untuk golongan B40, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, wanita, belia dan Bumiputera,” jelas beliau.
Turut hadir, Pengarah Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yue, Pengurus Pembangunan Usahawan Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Abdul Rahim Md. Zain dan lain-lain.



























